Malaysian Tigers cemas sebelum menang

ROURKELA, INDIA-JANNUARY 16.
FIH Odisha Hockey Men’s World Cup 2023
Team Line Up during the FIH Hockey Men’s World Cup match between Malaysia and Chile at Birsa Munda International Hockey Stadium (Photo by WorldSportPics)

Kuala Lumpur: Skuad hoki negara berjaya meraih tiga mata penting dalam aksi kedua Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 di Rourkela apabila menang 3-2 menentang Chile ,sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela, India, Malaysian Tigers bermula garang apabila apabila hampir membolosi gawang Chile namun ‘reverse flick’ yang dilakukan Firhan Ashaari sekadar melepasi gawang gol lawan.

Chile juga berpeluang untuk memimpin perlawanan selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-11 oleh pengadil perlawanan namun gagal disempurnakan untuk kedudukan 0-0 kekal pada suku pertama perlawanan.

Memasuki suku kedua, Malaysia berjaya mendapat dua pukulan sudut penalti namun kekentalan barisan pertahanan Chile menyaksikan tiada gol berjaya dihasilkan.



Sebaliknya Chile berjaya memanfaatkan pukulan sudut penalti yang diraih mereka pada minit ke-25 apabila pertahanannya, Juan Amarosso berjaya melakukan satu flick untuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Hafizuddin Othman.

Tersentak dengan gol itu, Malaysia kembali memperkemaskan corak permainan bagi mencari gol penyamaan pada aksi berkenaan.

Gol yang dinanti-nantikan pasukan negara akhirnya hadir pada pada minit ke-25 apabila dihadiahkan penalti stroke dan peluang itu berjaya disempurnakan Razie Rahim.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Chile kembali dihadapan menerusi pukulan padu Martin Rodriguez sekali gus menyaksikan The Diablo mendahului dengan keputusan 2-1 pada separuh masa pertama.



Memasuki babak kedua, Malaysia berpeluang untuk menyamakan kedudukan namun enam pukulan sudut penalti yang diraih Malaysian Tigers gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Bagaimanapun ia langsung tidak mematahkan semangat pemain Malaysia untuk mendapatkan gol penyamaan apabila mendapat gol kedua selepas Ashran Hamsani bijak menyudahkan hantaran tinggi Shello Silverius pada minit ke-40.

Gol itu nyata memberi semangat kepada pemain-pemain Malaysia apabila berjaya memperoleh gol ketiga mereka menerusi Norsyafiq Sumantri pada minit ke-41 yang berpunca dari pukulan sudut penalti untuk Malaysian Tigers mendahului pada suku ketiga.

Memasuki suku keempat skuad negara dilihat mengurangkan tempo permainan berbanding Chile yang mahu mencari gol penyamaan.

Skuad Chile berjaya mendapat gol penyamaan namun jaringan itu dibatalkan memandangkan flik yang dilakukan pemain The Diablo itu diluar kawasan D.

Skuad negara hampir dibolosi pada minit akhir perlawanan menerusi pukulan sudut penalti, namun Hafizuddin bertindak cemerlang untuk menidakkannya.

Untuk rekod, ini adalah kemenangan pertama skuad hoki negara di Piala Dunia sejak 2002 apabila menewaskan Cuba 4-2.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker