Thailand kekal ‘raja’ Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Thailand mengekalkan status ‘raja’ bola sepak Asia Tenggara apabila memenangi Piala AFF 2022 dengan menewaskan Vietnam menerusi agregat 3-2 di pentas final, sebentar tadi.

Kemenangan 1-0 dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Thammasat itu sudah memadai buat skuad Gajah Perang menjulang ‘Piala Dunia’ Asia Tenggara buat kali ketujuh selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi pertama di Hanoi, Jumaat lalu.

Kapten Thailand, Theerathon Bunmathan muncul wira pasukannya apabila meledak gol tunggal menerusi rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-24 selepas menerima umpanan daripada Adisak Kraisorn.

Pemain tengah Thailand, Peeradol Chamrasamee dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua pada masa kecederaan, namun ia tidak menjejaskan skuad Gajah Perang untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 1-0.

Kejayaan itu menyaksikan anak buah Alexandre Polking melebarkan rekod pasukan paling banyak memenangi Piala AFF selepas turut muncul juara pada edisi 1996, 2000, 2002, 2014, 2016 dan 2020.

Singapura pula pernah empat kali menjuarai Piala AFF pada 1998, 2004, 2007 dan 2012, di susuli Vietnam dua kali (2008 dan 2018), manakala Malaysia sekali (2010).

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker