Nenek terkejut terima berita cucu ditemukan lemas

Oleh – Syeikh Baran


Nenek terkejut terima berita cucu ditemukan lemas
SEBAHAGIAN ahli keluarga sedang menunggu ketibaan jenazah Muhammad Shafiq untuk dikebumikan di Kampung Wakaf, Pasir Puteh, Kelantan hari ini.UTUSAN/TOREK SULONG

Nenek kepada salah seorang daripada tiga remaja yang lemas semasa mandi di dalam kolam latihan kereta kebal di Kem Batu Lima, Mentakab dekat Pahang terkejut selepas menerima berita cucunya meninggal dunia semalam.

Rohana Ghazali, 63, berkata, kali terakhir dia bertemu cucunya, Muhammad Shafiq Aswad Shahril Naim, 11, pada bulan April tahun lalu semasa mangsa pulang bersama keluarga untuk menyambut Aidilfitri ke kampung halaman Kampung Wakaf di sini.

Menurutnya, dia tidak menyangka sambutan hari raya tahun lalu merupakan kesempatan kali terakhir untuk bertemu dengan cucunya itu.



“Saya terkejut dan amat sedih selepas menerima perkhabaran bahawa Muhammad Shafiq lemas semasa kejadian itu. Dia seorang cucu yang baik malah disenangi oleh semua ahli keluarga.

“Sejujurnya, Muhammad Shafiq merupakan cucu kesayangan saya daripada 27 cucu yang lain. Selepas hampir setahun tidak bertemu, hanya jenazahnya sahaja dibawa pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Wakaf di sini hari ini.

Rohana memberitahu, berdasarkan pengetahuannya, arwah tidak pernah mandi sungai sebaliknya gemar bermain bola di padang yang berdekatan dengan rumah.

Katanya, hasrat arwah untuk membuktikan kecemerlangan dalam pelajaran sehingga tamat menunut di bangku persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Bakti di Mentakab juga tidak kesampaian.

Ahli keluarga sabar menunggu ketibaan jenazah Muhammad Shafiq yang bertolak dari kem berkenaan sejak pukul 1.20 petang.

Jenazah Muhammad Shafiq dijangka disolatkan di rumah Rohana sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakaf selepas solat maghrib hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan, tiga kanak-kanak ditemukan lemas selepas dipercayai mandi dalam kolam latihan kereta kebal di Kem Batu 5, Jalan Karak-Temerloh di sini semalam.

Tiga sahabat yang maut dalam kolam sedalam 2.1 meter itu melibatkan dua kanak-kanak berusia 11 tahun dan seorang kanak-kanak 13 tahun.

Sumber – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker