Syria, Palestin dijemput sertai Pestabola Merdeka
Kuala Lumpur: Satu pasukan Asia Barat dan dua pasukan dari Asean antara sasaran diletakkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi melengkapkan empat pasukan bertanding dalam saingan Pestabola Merdeka yang dijadual pada September ini.
Antara pasukan Asia Barat yang berada dalam radar antaranya Syria dan Palestin, di mana masing-masing menghuni tangga ke-90 dan 93 dunia dalam ranking Fifa.
Manakala dua lagi pasukan serantau yang berada pada kedudukan ranking lebih tinggi daripada skuad Harimau Malaya (145 dunia) iaitu Vietnam (96 dunia) dan Thailand (111 dunia) adalah sasaran badan induk tempatan itu.
Perkara terbabit dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed yang melihat tiga calon pasukan itu mampu menyemarakkan semula saingan Pestabola Merdeka yang kali terakhir dianjurkan pada 2013 lalu.
Firdaus yang juga Naib Presiden FAM berkata, pemilihan tiga pasukan terbabit akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan FAM pada minggu hadapan, dan beliau secara peribadi mengakui Palestin atau Syria serta dua pasukan serantau Vietnam dan Thailand antara sasaran untuk dijemput nanti.
Katanya, selain mahu mencari pasukan berada di ranking lebih tinggi, beliau juga mahu menjadikan pentas Pestabola Merdeka ini sebagai persediaan terbaik buat barisan pemain negara kendalian Pan-gon diuji sebelum menyertai Piala Asia di Qatar, Januari depan.
“Saya secara peribadi melihat dua pasukan Asean iaitu Vietnam dan Thailand sebenarnya mempunyai kualiti dan standart permainan di tahap Piala Asia.
“Jika kita lihat di Piala AFF baru-baru ini, persembahan dua pasukan itu memang ada standard Piala Asia dan kita boleh jemput mereka pada Pestabola Merdeka, kerana kita mahu pertandingan itu dijadikan medan persiapan untuk ke Piala Asia juga.
“Satu lagi pasukan saya lihat kita boleh cadangkan dari Asia Barat seperti Palestin yang sebenarnya amat dekat dengan rakyat Malaysia. Palestin sebenarnya ada pasukan bola sepak yang kuat dan mereka juga layak ke Piala Asia nanti.
“Apapun kita akan bincang dalam mesyuarat akan datang dan saya kemungkinan besar kita akan anjurkan dalam jendela perlawanan antarabangsa Fifa pada September nanti, dan sudah tentu bila ia berlangsung dalam tempoh jendela itu, Pan-gon dapat kumpulkan pemain utama yang beliau mahukan,” katanya kepada Arena Metro.
Selain itu, Firdaus yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) mengakui akan menggunakan format seperti digunakan dalam Piala Raja Thai di Chiang Mai, September lalu.
“Kita mungkin guna format macam Piala Raja Thai. Empat pasukan akan diundi main seperti separuh akhir, dan pemenang akan masuk ke final dan yang tewas akan beraksi untuk tempat ketiga dan keempat.
“Apapun kita kena bergerak cepat menjemput mereka dan dari situ kita harap dapat maklum balas positif, di mana mereka juga pastinya mahu menggunakan Pestabola Merdeka sebagai persediaan ke Piala Asia,” katanya.
Untuk rekod, Pestabola Merdeka sudah dianjurkan sebanyak 41 kali sejak 1957, dengan Malaysia muncul pasukan paling berjaya dengan 10 kejuaraan diikuti Korea Selatan tujuh kali dan Myanmar empat kali.
BHOnline