Ten Hag puas hati persembahan pemain

LONDON: Erik ten Hag berkata pemain-pemain Manchester United mendapat kepercayaannya selepas meraih kemenangan kesembilan berturut-turut.

Skuad kendalian Ten Hag meneruskan rentak cemerlang mereka dengan bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan seteru tetangga Manchester City 2-1 di Old Trafford, Sabtu lalu.

United akan memburu kemenangan ke-10 dalam semua pertandingan apabila bertandang ke laman Crystal Palace hari ini.

Dengan United hanya satu mata di belakang City yang menghuni tangga kedua, kemenangan di Selhurst Park akan menjadikan pertembungan Ahad ini dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal lebih bermakna.

Kebangkitan United di bawah Ten Hag hadir selepas mereka tewas dua perlawanan berturut-turut di tangan Brighton dan Brentford pada permulaan musim.

Bekas pengendali Ajax itu berpuas hati dengan cara pemain-pemainnya menyesuaikan diri dengan apa yang digariskannya pada musim ini.

“Cara mereka menterjemahkan perancangan (menentang City) di dalam permainan, saya rasa ia amat pintar.

“Anda lihat cara mereka ketika menguasai bola dan ketika hilang bola – cara mereka menekan, bagaimana kami bertahan dengan tiga penyerang Manchester City, saya rasa ia amat baik.

“Saya mempercayai mereka. Mereka menyokong perancangan 100 peratus dan mengawal permainan di sepanjang babak pertama,” kata Ten Hag.

United hanya dibolosi tiga gol dalam tujuh perlawanan terakhir mereka dan pertemuan tetangga Manchester itu hanya satu-satunya perlawanan di mana mereka ketinggalan sepanjang tempoh berkenaan.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker