En-Nesyri lebur rekod Ronaldo

DOHA: Youssef En-Nesyri adalah wira sebuah negara dan hampir satu benua, apabila golnya menentang Portugal menjadikan Maghribi pasukan pertama Afrika layak ke separuh akhir Piala Dunia dalam sejarah.

Penjaga gol Diogo Costa tersilap agak satu hantaran lintang dan penyerang Sevilla itu melonjak tinggi mengatasi pemain lain untuk menanduk masuk.

Lompatan En-Nesyri juga satu sejarah. Penyerang Maghribi itu menanduk dari ketinggian 2.78 meter, seperti dilaporkan beIN SPORTS dalam akaun Twitter mereka.

Oleh itu, penyerang Sevilla itu mengatasi ketinggian tandukan Cristiano Ronaldo menentang Sampdoria ketika dia bermain untuk Juventus, dengan catatan 2.5m.

“Kami semua terlalu gembira, dengan penuh kegirangan atas kemenangan itu,” kata penyerang itu selepas perlawanan.

“Saya berterima kasih dengan rakan sepasukan dan peminat. Selepas tidak mampu melakukannya pada 2018, saya memberitahu rakan sepasukan kami akan mengalahkan Sepanyol dan Portugal.”

En-Nesyri, yang tidak beraksi baik bersama Sevilla setakat ini musim ini, sudah meraih dua gol pada Piala Dunia kali ini, tetapi gol terakhirnya adalah yang paling penting dalam sejarah negaranya.

Ironinya Ronaldo turut berada di padang yang sama apabila rekod itu dipecahkan.

Dia diletakkan di bangku simpanan sekali lagi oleh jurulatih Fernando Santos yang memilih Goncalo Ramos, penjaring hatrik ketika pusingan 16 terakhir menentang Switzerland.

Ronaldo dimasukkan selepas 51 minit ketika Portugal ketinggalan 1-0, tetapi dia tidak mampu memberi impak dan kini kelihatan tidak mungkin memenangi Piala Dunia dalam kariernya.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker