3 nahas jejas aliran trafik PLUS arah selatan; utara lancar

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara masih lancar, namun berlaku kesesakan bagi laluan menghala ke selatan, setakat jam 11 pagi tadi.

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz, berkata kesesakan itu terjadi susulan tiga nahas membabitkan kenderaan berat dengan satu daripadanya kemalangan maut.

Katanya, kemalangan itu termasuk di Kilometer (KM) 283.8 PLUS Nilai-Putra Mahkota membabitkan sebuah lori membawa muatan bateri kereta terbalik lalu menghalang laluan sehingga menyebabkan trafik bergerak perlahan sepanjang tujuh kilometer.

Seterusnya, beliau berkata, nahas di KM259.6 Seremban-Port Dickson membabitkan sebuah treler yang dipercayai terbabas sebelum terbakar.



“Ia diklasifikasikan sebagai kemalangan maut kerana difahamkan, terdapat dua mangsa rentung dipercayai membabitkan pemandu dan kelindan treler itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, satu lagi kemalangan berlaku di KM242.3 Pedas Linggi-Senawang membabitkan sebuah lori membawa muatan telur terbalik lalu menghalang lorong tengah serta kanan.

“Kemalangan itu mengakibatkan trafik mengalami kesesakan sejauh empat kilometer.

“Namun, semua kemalangan berkenaan dikatakan terkawal kerana PLUS dan beberapa pihak berwajib telah berusaha menyelesaikan masalah itu,” katanya.



Dalam pada itu, PLUS menasihati pengguna supaya merancang perjalanan dan sentiasa melihat status semasa dalam laman rasmi PLUS mengenai keadaan lalu lintas.

Selain itu, pengguna juga diminta mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang sudah dikeluarkan PLUS bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebelum ini dilaporkan berkata pemberian tol percuma untuk semua jenis kenderaan, hari ini dan esok, dilaksanakan di semua lebuh raya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker