Buruh terselamat insiden gudang runtuh

'Syukur turun awal'

Buruh terselamat insiden gudang runtuh

Buruh terselamat insiden gudang runtuh
Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggerakan operasi mencari empat buruh binaan warga Bangladesh yang dipercayai masih tertimbus susulan runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown, hari ini. – NSTP/MIKAIL ONG

GEORGETOWN: Seorang pekerja di tapak pembinaan gudang logistik yang runtuh di Batu Maung, Bayan Lepas di sini, malam tadi, terselamat apabila turun lebih awal untuk berehat beberapa minit sebelum kejadian.

Mohidul Islam, 43, warga Bangladesh berkata, dia bersama empat rakan yang membuat kerja kayu di bahagian atas gudang turun untuk berehat sebelum tiba-tiba terdengar dentuman kuat dan keadaan menjadi kelam kabut selepas menyedari terdapat runtuhan pada struktur sedang dalam pembinaan itu.

“Saya bersyukur kerana turun awal, kalau tidak mungkin saya juga jadi mangsa. Kebanyakan kami di sini baru tiga bulan bekerja di tapak projek ini dan tidak menyangka akan berlaku kejadian seperti ini. Saya amat sedih kerana ramai rakan terkorban,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi ini.



Seorang lagi pekerja, Md Ikhtiar, 38, berkata, ketika kejadian 9.40 malam itu, dia bekerja di bahagian bawah gudang sebelum tiba-tiba terasa struktur bangunan itu seperti bergoyang.

Katanya, dia kemudian lari dan keluar menyelamatkan diri selepas mendengar jeritan daripada pekerja lain sebelum melihat gudang itu runtuh.


“Seorang daripada mangsa berjaya ditarik keluar tetapi keadaannya ketika itu sangat parah dan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan JBPM mengalami kesukaran dalam mengalihkan rasuk-rasuk yang terjatuh bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

“Kren digunakan untuk mengalihkan struktur rasuk berat yang menghalang laluan masuk ke runtuhan dan kerja-kerja pengalihan ini memerlukan sedikit masa,” menurut JBPM.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamad pada sidang media di lokasi, mengesahkan tiga pekerja warga Bangladesh maut dan dua parah, manakala empat lagi dikhuatiri masih tertimbus.



Beliau berkata, polis yang menerima maklumat kira-kira 9.45 malam dimaklumkan terdapat 18 pekerja berada di lokasi tetapi sembilan daripada mereka keluar untuk solat dan sembilan dilaporkan terperangkap.

Tapak binaan gudang logistik itu terletak di bahagian selatan Pulau Pinang dan bangunan itu kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, ruang parkir dan gudang.

Setakat jam 6 pagi tadi, empat mangsa dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan tapak binaan itu yang berlaku malam tadi, tiga disahkan maut, manakala dua yang parah sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Buruh terselamat insiden gudang runtuh



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button