Budak maut kerana cabaran TikTok
Buenos Aires: Kemaruk mencuba cabaran tercekik yang menjadi trend di TikTok mengakibatkan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Argentina, meninggal dunia, lapor portal Independent.
Polis sedang menyiasat insiden itu yang berlaku di bandar Capitan Bermudez, 13 Januari lalu.
Milagros Soto, ditemukan meninggal dunia di rumahnya selepas didakwa mencuba cabaran blackout yang dikenali sebagai ‘cabaran tercekik’.
Ia salah satu daripada banyak cabaran tular yang tersebar di aplikasi TikTok, menurut saluran berita tempatan El Litoral.
Ibu saudara kanak-kanak itu membuat kenyataan di Facebook, Milagros meninggal dunia kerana melakukan cabaran TikTok itu.
Milagros dilaporkan berjaya mencuba cabaran itu dua kali sebelum ini, namun dipercayai meninggal dunia dalam percubaan ketiganya, menurut Jam Press.
Ibu saudaranya berkata, kanak-kanak itu menerima mesej WhatsApp daripada seorang individu yang menyertakan pautan kepada cabaran itu selepas dia dibuli di sekolah.
“Saya percaya seseorang menggalakkannya untuk melakukannya,” katanya kepada Jam Press.
Untuk rekod, cabaran ini mempertaruhkan keberanian individu mencekik diri sendiri sehingga pengsan.
Data CDC mendedahkan, lebih daripada 82 anak muda meninggal dunia antara pertengahan 1990-an dan pertengahan 2000-an akibat daripada mengambil bahagian dalam cabaran tercekik.
Laporan itu menunjukkan, majoriti kematian berlaku kepada mereka yang berumur antara 11 hingga 16 tahun.
Sementara itu, jurucakap TikTok, Mahsau Cullinane memberitahu The Washington Post, pihaknya menyekat pengguna daripada mencari pautan cabaran berkenaan dan menggantikan hasil carian dengan amaran.
Sebulan sebelum Milagros meninggal dunia, seorang lagi kanak-kanak berusia 12 tahun ditemukan maut di Ohio, Amerika Syarikat, Tristan Casson selepas didakwa mencuba cabaran sama, menurut Michigan Live.
Agensi