Conte akur Spurs kurang pengalaman

Manchester: Tottenham Hotspur mensia-siakan pendahuluan dua gol sebelum kecundang 2-4 di tangan Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi hari ini, kerana kekurangan pengalaman, kata jurulatih, Antonio Conte.

Bagaimanapun, dia menegaskan akan kekal komited dengan kelab itu untuk tempoh jangka panjang.

“Anda tidak akan kalah perlawanan seperti ini jika memiliki lebih banyak pengalaman,” kata Conte selepas jaringan babak kedua oleh Julian Alvarez dan Erling Haaland serta dua gol Riyad Mahrez memadam kelebihan dua gol pasukannya yang dijaringkan Dejan Kulusevski dan Emerson Royal sebelum rehat.

“Anda tidak boleh membeli pengalaman. Sebenarnya, anda boleh membeli pengalaman secara langkah demi langkah, setahun demi setahun. Kami melepaskan banyak gol dan tidak bagus dibolosi empat gol dalam separuh masa saja.



“Ini kali pertama pasukan saya melepaskan empat gol dalam satu separuh masa, tetapi kami perlu terus bekerja, meningkatkan pasukan dan memberikan aksi terbaik.

“Kami sangat kecewa dengan keputusan perlawanan, kami berhak mendapat sesuatu yang lebih baik.”

Musim lalu, Conte menyelamatkan permulaan hambar Tottenham apabila menggantikan Nuno Esprito Santo sebelum menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik, tetapi musim penuh pertamanya kali ini jelas bermasalah apabila mereka tewas enam daripada 10 aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

Conte turut mengalami kesedihan peribadi apabila tiga kawan rapatnya meninggal dunia iaitu jurulatih kecergasan, Gian Piero Ventrone dan bekas pemain, Sinisa Mihajlovic serta Gianluca Vialli, walaupun mengakui kehilangan itu tidak menjejaskan tugasnya sebagai pengendali Tottenham.



“Daripada aspek peribadi, ia adalah musim yang sukar, tetapi situasi ini tidak menjejaskan kerja untuk pasukan dan saya penuh fokus terhadap aspek ini, saya adalah binatang,” katanya.

“Saya sedar cabaran dalam situasi ini, saya bekerja keras kerana mahu meningkatkan pasukan, memajukan kelab dengan visi dan idea saya.”

Reuters

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker