Op Selamat bukan untuk ganggu perjalanan



KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Op Selamat pada musim perayaan bukan untuk mengganggu pengguna jalan raya tetapi bagi melancarkan lalu lintas dan mengurangkan kemalangan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kassim Karim, berkata Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina yang berkuat kuasa mulai Rabu lalu hingga Jumaat depan, tertumpu di kawasan panas yang dijangka berlaku kesesakan akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan.

“Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti bagi tujuan bantuan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan berkenaan merujuk kepada artikel Minda Pengarang bertajuk “JPJ, Polis jangan ‘ganggu’ perjalanan musim raya” oleh sebuah akhbar tempatan semalam yang melaporkan tindakan penguatkuasaan semasa cuti Tahun Baharu Cina akan mengganggu perjalanan pengguna jalan raya.



Menurut Mat Kassim, seluruh jentera PDRM membabitkan anggota balai, kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan diatur-gerak secara menyeluruh dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan di lebuh raya, jalan negeri serta perbandaran.

“Pengguna jalan raya diminta memainkan peranan sebagai pengguna yang berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan.

“Kerjasama orang ramai sepanjang tempoh operasi ini akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik,” katanya.

BERNAMA





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker