Piala Dunia Hoki 2023 : Malaysia, Sepanyol rebut tempat ke suku akhir

Bhubaneswar, India: Kemenangan berturut-turut diraih Malaysia di Piala Dunia Hoki 2023 menyaksikan pasukan Speedy Tigers akan menamatkan saingan dalam kelompok 12 terbaik.

Selepas menewaskan Chile 3-2 di Stadium Birsam Munda di Rourkela, Malaysia perlu mengharungi perjalanan sejauh 800 kilometer (km) ke Stadium Kalinga di Bhubaneswar untuk menewaskan pasukan kesembilan terbaik dunia, New Zealand, 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan C, hari ini.

Speedy Tigers kendalian Arul Selvaraj mendahului perlawanan dengan 2-0 menerusi Faizal Saari dan Razie Rahim, namun New Zealand menyamakan kedudukan selepas mengeluarkan penjaga gol mereka.



Bagaimanapun, jaringan padang Faizal pada minit ke-57 menjamin tiga mata penting untuk Malaysia menamatkan Kumpulan C di tempat kedua.

Kedudukan itu menyaksikan Malaysia akan menentang pasukan tempat ketiga Kumpulan D, Sepanyol bagi perlawanan ‘crossover’ dan penentuan ke suku akhir, Ahad ini.

Untuk rekod, di Piala Dunia 2018 di Stadium Kalinga, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-15 daripada 16 pasukan.



“Kami ke Piala Dunia dengan berbeza perancangan untuk menentang pasukan berbeza dan apabila perlawanan dengan Belanda berakhir – yang paling sukar dalam kumpulan – kami tahu kami meraih mata penuh ke atas Chile dan New Zealand.

“Terdapat detik membimbangkan di suku terakhir kerana kami kehilangan satu pemain kerana kad mungkin (Amirul Azahar dikeluarkan lima minit dari minit ke-50) manakala New Zealand mengeluarkan penjaga gol mereka dan memasukkan pemain lain.

“Kami mempunyai sembilan pemain manakala mereka dengan 11 pemain menyerang gawang gol pada suku keempat dan sukar untuk bertahan.

“Pada akhirnya, saya memberitahu pemain yang kami perlu memastikan kurang melakukan kesilapan di minit terakhir perlawanan bagi mempertahankan kelebihan dan itu yang dilakukan mereka,” kata Arul.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button