Akademi DMT beri peluang kedua gelandangan, bekas juvana dan bekas banduan

Kuala Lumpur: Seawal jam 6.30 pagi, kelihatan 16 individu sedang berlari sejauh 10 kilometer dari Jalan Alor menuju ke Taman KLCC di sini.

Latihan fizikal itu antara rutin harian selama empat bulan yang perlu diharungi peserta Akademi Discover Muay Thai (DMT) yang terdiri daripada keluarga B40, gelandangan, bekas pesalah juvana dan bekas banduan.

Pendekatan yang diketengahkan bukan sahaja membabitkan latihan Muay Thai, malah emosi dan kerohanian peserta turut dititikberatkan.

Pengasas bersama akademi DMT Imran Harith berkata, pusat latihan itu ditubuhkan pada 2015 selepas terinspirasi dengan pendekatan ketika menjalani latihan Muay Thai di Chalong, Phuket, Thailand.



“Ketika berada di sana, ramai kanak-kanak yang diselamatkan daripada jenayah pemerdagangan manusia dan anak yatim didera ditempatkan di pusat latihan itu. Selain menjalani latihan Muay Thai, pelajaran dan agama turut ditekankan,” katanya.

Jelasnya, kemudian dia mengetengahkan konsep sama di negara ini untuk membantu individu terutama golongan belia yang berdepan dengan masalah sosial.

“Kami mahu menjadikan gimnasium sebagai tempat selamat kepada mereka yang ingin berubah menjadi lebih baik kerana peserta Akademi DMT mempunyai pelbagai latar belakang termasuk pernah terbabit dengan dadah, samun, gangsterisme, gelandangan dan keluarga tidak berkemampuan.

“Seramai 16 individu yang dipilih bagi setiap sesi menerusi pemilihan ketat ditempatkan di asrama yang disediakan di Gimnasium Dragon Muay Thai selama empat bulan untuk mengikut program yang disediakan,” katanya.



Katanya, sepanjang berada di akademi, semua peserta diwajibkan mengikuti jadual yang ditetapkan seawal jam 5 pagi.

“Selepas solat Subuh, mereka perlu berlari sejauh 10 kilometer sebelum menjalani latihan muay thai. Kita turut menyediakan sesi kaunseling, kelas bahasa Inggeris, kelas agama dan kelas keusahawanan.

“Pada waktu malam pula, mereka akan bekerja di bahagian pentadbiran dan menjadi pembantu jurulatih untuk berlatih kemahiran berkomunikasi dan mempraktikkan ilmu keusahawanan kerana gimnasium ini menjadi tumpuan pekerja luar negara yang bekerja di negara ini.

“Bagi merealisasikan matlamat projek ini, kami bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang membantu daripada segi pembangunan insan, terutamanya dari sudut pendidikan dan kemahiran pengurusan projek sejak tahun lalu,” katanya.

Jelasnya, peserta yang ‘berdarah panas’ ini biasanya akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan jadual ketat.

“Kita mahu tanamkan dalam diri setiap peserta dengan elemen positif termasuk disiplin, mengawal diri dan menghormati yang amat berkait rapat dengan muay thai,” katanya.

Sangka dah tiada jalan kembali insaf

Kuala Lumpur: Lebih satu dekad bergelumang dengan pelbagai jenayah termasuk dadah, samun dan gangsterisme, dia sangkakan tiada jalan untuk kembali insaf.

Namun segalanya berubah selepas Mohamad Abdul Hakim Mat, 30, menyertai Akademi Muay Thai (DMT) pada Jun tahun lalu.

Bukan setakat itu, anak bongsu daripada enam adik-beradik ini kini menjadi antara bakat baru yang sedang gilap untuk menjadi seorang petinju yang disegani di negara ini.

Mengimbas kembali kisah hitamnya, pemuda berasal dari Kodiang, Kedah itu mengakui melakukan pelbagai kesalahan jenayah sejak 13 tahun lalu termasuk memiliki dadah, menyamun dan menyertai kongsi gelap.

“Ketika itu, saya memang pantang disentuh dan ditegur, pasti akan berlaku pergaduhan kerana saya tak takut mati dan rela masuk penjara. Antara tindakan berani yang pernah saya buat adalah menyamun seorang tokan dadah sehingga ditetak di tangan kanan.

“Sepanjang terbabit dengan jenayah, dua kali saya dimasukkan ke penjara atas kesalahan dadah dan pernah menjalani pemulihan di Pusat Rawatan dan Pemulihan Narkotik (CCRC),” katanya.

Katanya, segalanya berubah apabila dia tidak dapat menatap wajah ibunya buat kali terakhir yang meninggal dunia disebabkan barah payudara seminggu sebelum keluar daripada penjara atas kesalahan memiliki dadah.

“Hubungan saya dengan ibu dan ayah sangat rapat. Biarpun terbabit dengan jenayah, mereka tidak pernah ‘membuang’ saya malah yakin saya akan berubah.

“Atas sebab itu, saya sangat terkesan dengan pemergian ibu dan nekad mahu berubah menjadi insan berguna dengan menyertai akademi DMT,” katanya.

Jelasnya, di DMT, selain latihan fizikal, dia diajar berkenaan disiplin, mengawal diri dan menghormati orang lain.

“Biarpun jadual agak ketat, saya suka dengan persekitaran di sini yang jauh berbeza berbanding sebelum ini. Saya turut diajar untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, ilmu keusahawanan dan mendekatkan diri dengan agama.

“Alhamdulillah, selepas empat bulan, saya terus diserapkan untuk menjadi atlet di sini. Lebih manis, pada Disember lalu, saya memenangi pingat emas dalam pertandingan Muay Thai di Nilai, Negeri Sembilan,” katanya.

Abdul Hakim berkata, akademi DMT menjadi platform kepada dirinya untuk menjadi individu yang dapat menyumbang sesuatu dalam masyarakat.

Bekas atlet silat sara keluarga dengan muay thai

Kuala Lumpur: “Saya ingin ubah nasib keluarga melalui sukan muay thai,” kata Siti Nurazila Mazlan, 21, seorang daripada altet muay thai dan jurulatih di Gimnasium Dragon Muay Thai.

Siti Nurazila sebenarnya bukan individu asing dalam seni mempertahankan diri kerana dia pernah mewakili negara dalam sukan silat.

Bagaimanapun, oleh kerana sukar membahagikan masa antara latihan dan pekerjaannya, dia terpaksa melupakan sukan itu sebelum kembali dengan terbabit secara serius dengan sukan muay thai.

Siapa sangka, biarpun masih baru dalam sukan Muay Thai, Siti Nurazila berjaya mencipta nama apabila memenangi beberapa kejohanan besar termasuk memenangi pingat emas dalam Kejohanan Muay Thai Dunia Grand Slam 2022 dan pingat gangsa di Sukan Malaysia (Sukma) Melaka tahun lalu.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, selepas ibu bapanya bercerai, tanggungjawab untuk menyara keluarga jatuh di bahunya.

Katanya, dia mengambil tanggungjawab itu untuk membantu ibunya menyara hidup dengan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk bekerja di butik selain sebagai operator di kilang.

“Kemudian saya menyertai program Elite yang disediakan khas untuk wanita. Program ini hanya dijalankan pada setiap Sabtu, jadi saya boleh turut serta sambil bekerja.

“Sepanjang program ini dijalankan, sebenarnya ramai wanita terbabit namun hanya saya seorang bertahan sehingga peringkat terakhir kerana mungkin tidak tahan dengan latihan yang dijalankan.

“Seperti peserta lain, saya bukan sahaja dilatih Muay Thai, malah diajar berkomunikasi dengan pelanggan dengan menggunakan bahasa Inggeris dan sebagainya,” katanya.

Siti Nurazila bersyukur kerana dia diserap masuk ke Gimnasium Dragon Muay Thai sebagai satu-satunya jurulatih dan atlet wanita secara sepenuh masa.

“Saya bertanggungjawab melatih pelanggan yang ingin mempelajari muay thai yang kebanyakannya terdiri daripada pakar asing yang bekerja di sini, sekali gus dapat menjana pendapatan.

“Sebagai atlet, saya turut berlatih secara konsisten untuk meningkat prestasi dan stamina sebagai persediaan untuk menyertai seberapa banyak pertandingan yang dianjurkan sama ada di dalam mahupun di luar negara,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker