Guardiola akui boleh tinggalkan City

MANCHESTER, United Kingdom: Pep Guardiola memberi bayangan bahawa kerjayanya sebagai pengurus Manchester City boleh tamat jika pemainnya tidak mengikut apa dimintanya untuk memberhentikan penurunan daripada tahap sebenar pasukan itu.

Guardiola meminta bintangnya segera kembali mendapatkan keinginan untuk mengejar Arsenal di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun bangkit daripada ketinggalan 2-0 sebelum menewaskan Tottenham 4-2 Khamis lalu.

Jurulatih dari Catalan itu sudah menyaksikan tempoh paling berjaya dalam sejarah kelab apabila menang empat gelaran liga dalam tempoh lima tahun.

Malah Guardiola menyambung kontraknya di Etihad hingga 2025 pada November, namun mengakui dia juga ada pengalaman penurunan prestasi yang akhirnya menjadi satu kejayaan buat seorang pemain.

“Saya menang empat La Liga berturut-turut ketika saya bergelar pemain,” kata bekas pemain tengah Barcelona itu.

“Dalam musim kelima, saya tidak sama seperti sebelumnya, yang keenam saya juga tidak sama. Saya tidak cukup laparkan kemenangan. Saya merasakan ‘Betapa bagusnya saya’ dan Madrid menewaskan saya untuk kali kelima dan keenam.

“Saya faham (cabarannya) tapi saya di sini untuk melakukannya. Pengerusi tahu mengenainya. Saya mahu berada di sini, jika tidak saya tidak akan sambung kontrak.

“Tapi jika saya hilang pasukan atau saya hilang sesuatu, saya tidak boleh berada di sini. Di sini orang tidak menunggu.”

Arsenal memegang kelebihan lima mata mengatasi skuad Guardiola dan masih ada satu perlawanan dalam tangan.

Bagaimanapun City boleh mengurangkan jurang di persada EPL kepada dua mata menerusi kemenangan di Wolves malam ini sebelum Arsenal menanti kehadiran Manchester United di Emirates.

City dan Arsenal masih perlu berdepan sesama sendiri sebanyak tiga kali lagi musim ini, yang pertama ialah di pusingan keempat Piala FA pada Jumaat.

Dan permintaan terbuka Guardiola diharapkan mendapat maklumbalas baik kerana perjalanan liga masih panjang.

“Kami kedua dalam liga, kami bukan ketinggalan 25 mata di belakang Arsenal. Masih ada 57 mata untuk diambil. Apa yang saya katakan jika bermain seperti ini, tiada peluang. Kami ada masa untuk pulih,” katanya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker