Baru 2 tahun, budak ini boleh mengira dalam 6 bahasa



London: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang menetap di Portishead, Somerset, dipilih sebagai ahli termuda Mensa Britain, iaitu persatuan masyarakat kecerdasan minda (IQ) tinggi antarabangsa.

Kanak-kanak itu, Teddy Hobbs diterima masuk menyertai organisasi elit itu mengatasi kanak-kanak berusia tiga tahun sembilan bulan pada tahun lalu, selepas mendapat skor IQ sebanyak 139.

Teddy yang dilahirkan menerusi persenyawaan in-vitro (IVF) boleh membaca buku Harry Potter dan mengira hingga 100 dalam enam bahasa termasuk Mandarin, Wales, Perancis, Sepanyol dan Jerman.

Ibu bapanya iaitu Beth dan Will Hobbs hanya mengetahui kepintaran luar biasa dimiliki anak mereka secara kebetulan ketika membuat persediaan ke sekolah pada September lalu.



Beth, 31, berkata, mereka melakukan ujian IQ terhadap Teddy melalui permainan ‘puzzles’ selama satu jam dan Teddy memberitahu ia menyeronokkan.

“Selepas menyelesaikannya, kami diberitahu penasihat kanak-kanak Mensa bahawa Teddy layak menyertai organisasi itu.

“Kami agak tergamam mengetahui perkara itu. Kami tahu dia (Teddy) boleh melakukan perkara yang tidak dapat dilakukan rakan sebayanya tetapi kami tidak menyedari betapa hebatnya dia.

“Kami tidak pasti bagaimana dia dapat melakukannya kerana suami dan saya bukan ahli bahasa. Kami selalu bergurau kononnya pakar kesuburan itu mungkin termasuk jarum atau sesuatu sehingga membuatkan dia jadi begini,” katanya.



Beth turut mengakui Teddy meminati permainan atau menonton televisyen.

Katanya, Teddy mengetahui apa diperkatakan mereka dan dapat mengeja setiap perkataan yang disebut.

“Kami tidak boleh terlepas cakap, dia akan mendengar segala-galanya dan akan mengingati perbualan itu.

“Apabila kami mempunyai anak perempuan pula, kami membeli tablet untuk Teddy, supaya kami dapat memberi tumpuan kepada bayi itu. Tetapi dia (Teddy) tidak pernah berminat untuk bermain permainan atau apa saja di dalamnya, sebaliknya hanya suka menggunakan aplikasi untuk mencuba dan belajar mengira hingga 100 dalam Bahasa Mandarin serta bahasa lain,” katanya.



Mereka mahu memastikan Teddy yang kini berusia empat tahun merendah diri meskipun kepintarannya mendapat perhatian umum sedangkan kanak-kanak itu tidak menyedari bakatnya yang luar biasa berbanding kanak-kanak lain.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker