Penagih dadah samun tiga kedai serbaneka dicekup polis

Oleh – Syeikh Baran


Penagih dadah samun tiga kedai serbaneka dicekup polis

 Seorang penagih dadah berjaya dicekup polis selepas melakukan jenayah samun di tiga buah kedai serbaneka di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian samun pada hari Ahad, Selasa dan terbaharu semalam membabitkan mangsa iaitu pekerja kedai berkenaan.

Menurut beliau, pada kejadian hari Ahad itu, polis telah menerima laporan kira-kira pukul 5.18 pagi daripada seorang perempuan berusia 20 tahun yang disamun ketika bekerja di kedai serbaneka di Jalan Dato Sheikh Ahmad di sini



Katanya, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM1,250 iaitu membabitkan wang tunai sebanyak RM250 dan seutas rantai emas milik mangsa.

“Pada Selasa (kelmarin) pula, kira-kira pukul 1.22 pagi, satu laporan diterima daripada seorang wanita berusia 36 tahun yang disamun ketika bekerja di kedai serbaneka di Jalan Temiang yang dipercayai oleh suspek yang sama dan melibatkan kerugian sebanyak RM775. 

“Pada pukul 2.45 pagi semalam, polis sekali lagi menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 27 tahun yang bekerja di kedai serbaneka di Jalan Tuanku Antah telah disamun oleh seorang lelaki bersenjatakan kayu besbol dengan anggaran kerugian RM125,” katanya di sini hari ini.

Ujar Arifai lagi, hasil siasatan mendapati suspek telah memasuki kedai serbaneka dengan berpura-pura membeli barang dan melakukan samun terhadap pekerja kaunter wang selepas mesin wang dibuka.

Menurutnya, suspek yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau serta positif dadah jenis Methamphetamine dalam saringan air kencing dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya sambil memaklumkan dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes samun melibatkan kedai serbaneka 24 jam di sekitar bandar ini.

Sumber – UTUSAN.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker