Lazio belasah AC Milan 4-0



Rom: Lazio berpesta gol selepas membelasah AC Milan 4-0 awal pagi tadi sekali gus meneruskan kemarau kemenangan juara bertahan Serie A itu kepada lima perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Sergej Milinkovic-Savic, Mattia Zaccagni, Luis Alberto dan Felipe Anderson menemui sasaran manakala skuad Maurizio Sarri jatuh di tempat ketiga dengan satu mata di belakang Milan dan 13 mata ditinggalkan pendahulu Napoli.

Milan meneruskan prestasi buruk sejak akhir-akhir ini selepas tewas 0-3 kepada Inter Milan pada final Piala Super Itali minggu lalu dan tersingkir daripada Piala Raja Itali selepas disingkirkan Torino yang beraksi 10 pemain minggu lalu.

“Banyak perkara tidak berfungsi dengan baik di Milan ketika ini,” kata jurulatih Stefano Pioli.



“Mentaliti, isu taktikal kerana kami melepaskan gol dalam beberapa situasi yang sepatutnya boleh dielakkan.”

Kem Lazio pula bertambah membara dengan penjaring gol pembukaan Milinkovic-Savic menganggap mereka mampu menjadi pencabar gelaran liga.

“Mengapa tidak? Jika kami beraksi sebegini ketika menentang juara bertahan, tiada sebab kami tidak mampu melakukannya,” katanya ketika ditanya sama ada Lazio mampu menamatkan kemarau gelaran liga sejak 1999-2000.

Reuters





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker