St Mary’s gelanggang sukar buat Arsenal

LONDON: Arsenal bertandang ke St Mary’s bertemu Southampton esok dengan misi memburu kemenangan kesembilan dalam semua pertandingan .

Kedua-dua pasukan merakam kemenangan 1-0 pada pertengahan minggu ini, dengan The Saints menewaskan Bournemouth dan The Gunners mengatasi PSV Eindhoven dalam saingan Liga Europa.

Southampton kendalian Ralph Hasenhuttl menamatkan kemarau kemenangan mereka apabila Che Adams menanduk hantaran lintang Romain Perraud pada minit kesembilan aksi di Stadium Vitality.

Selepas lima perlawanan tanpa kemenangan, skuad kendalian Hasenhuttl kini menghuni tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris, dua mata di atas zon penyingkiran.

Tandukan Adams itu adalah gol ketiga Southampton dalam tempoh 540 minit aksi liga, dan sekiranya tewas esok, kekecewaan peminat akan kembali memuncak.

The Saints melaungkan amaran kepada kelab-kelab utama Liga Perdana Inggeris apabila menewaskan Chelsea di St Mary’s awal musim ini, tetapi anak buah Hasenhuttl gagal memastikan gawang mereka tidak dibolosi dalam tujuh aksi liga di laman sendiri, dan tidak pernah menang dua kali berturut-turut sejak Februari.

Arsenal kendalian Mikel Arteta juga sekadar menang tipis sejak beberapa minggu lalu, dengan kemenangan ke atas PSV adalah yang ketiga berturut-turut dengan keputusan 1-0.

Jaringan Granit Xhaka sudah mencukupi untuk membawa Arsenal ke pusingan kalah mati Liga Europa.

Sebelum itu mereka menewaskan Bodo/Glimt dan Leeds United dengan keputusan yang sama.

Arsenal bertandang ke St Mary’s selepas meraih lapan kemenangan berturut-turut yang menyaksikan mereka kini mendahului liga dengan kelebihan empat mata ke atas juara bertahan, Manchester City di tangga kedua.

Bagaimanapun stadium berkenaan bukanlah gelanggang yang mudah buat Arsenal. Mereka tewas 1-0 musim lalu – kekalahan kelima di laman Southampton sejak Januari 2015.

Namun mereka berjaya menewaskan anak buah Hasenhuttl 3-0 di Stadium Emirates pada Disember lalu.

Barisan kemungkinan Southampton:

Bazunu; Lyanco, Salisu, Caleta-Car; Elyounoussi, Ward-Prowse, S. Armstrong, Diallo, Perraud; Aribo, Adams

Barisan kemungkinan Arsenal:

Ramsdale; White, Saliba, Gabriel, Tomiyasu; Xhaka, Partey; Saka, Odegaard, Martinelli; Jesus

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker