Ozoh bintang sedang meningkat naik

LONDON: Pemain remaja sensasi, David Ozoh menjadi pemain termuda Crystal Palace beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Pemain 17 tahun itu dimasukkan di akhir permainan ketika menentang Newcastle Sabtu lalu dan mengatasi rekod George Ndah dari tahun 1992.

“Ia sangat bermakna buat saya. Anda bekerja keras untuk saat sebegini. Ia mimpi menjadi kenyataan. Saya tidak mempercayainya – ia perasaan terindah.



“Apabila diberitahu untuk memanaskan badan, saya berdebar-debar. Tetapi sebaik dimasukkan, saya rasa tenang dan cuba bermain dengan mudah, membuat beberapa hantaran dan mengikut rentak permainan.

“Jujurnya, dimasukkan untuk perlawanan ini agak gila. Ia perlawanan yang perlu dimenangi, dan diturunkan untuk perlawanan sebegini menunjukkan pengendali percaya terhadap saya, jadi saya amat gembira,” kata Ozoh.

Ozoh dilahirkan di Valencia, Sepanyol. Orang tuanya berasal dari Nigeria dan dibesarkan di Sepanyol sebelum berpindah ke Croydon, England pada usia lapan tahun.



Ozoh turut berharap dapat mengikut jejak langkah pengendali Palace, Patrick Vieira – legenda Arsenal yang bermain di posisi sama dengannya.

“Patrick Vieira adalah pengurus yang bagus. Saya banyak belajar daripadanya, kerana kami bermain di posisi yang sama.

“Dia sangat baik terhadap saya, dia bercakap dengan saya selepas latihan dan memberitahu apa yang perlu dilakukan untuk menjadi lebih baik, saya suka bekerja dengannya,” katanya.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button