Ringgit kekal di paras RM4.43 sedolar AS

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka mendatar berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini dengan perhatian pelabur terarah kepada pembentangan semula Belanjawan 2023 Malaysia petang ini.

Selain itu, tumpuan pelabur turut diberikan kepada data Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang akan dikeluarkan malam ini, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, nilai ringgit berada pada 4.4315/4360 berbanding dolar AS daripada 4.4315/4365 pada penutup Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata data PCE AS dijangka menunjukkan peningkatan dan sekiranya data adalah lebih tinggi daripada jangkaan, ia akan menyediakan laluan ke arah dolar AS yang lebih kukuh pada minggu depan.



“Namun begitu, pembentangan semula Belanjawan 2023 berkemungkinan menawarkan sedikit sokongan propertumbuhan kepada ringgit hari ini,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan Malaysia MADANI 2023 di Dewan Rakyat lewat hari ini, belanjawan negara pertama yang dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound Britain, menyaksikan ia menambah nilai kepada 5.3289/3343 daripada 5.3311/3371 pada penutupan Khamis.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding yen Jepun menjadi 3.2990/3028 daripada 3.2855/2895 semalam, rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3019/3058 daripada 3.2990/3032, dan susut berbanding euro kepada 4.7000/7048 daripada 4.6943/6996 sebelumnya.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker