Bursa Malaysia kembali meningkat selepas susut dua hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kembali pulih daripada penyusutan selama dua hari apabila dibuka lebih tinggi hari ini dan menjejaki kenaikan ketara semalaman di Wall Street.

Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) itu meningkat semula selepas data awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2022 mengembang 2.9 peratus tahun ke tahun dan lebih pantas biarpun dalam senario kenaikan kadar faedah yang agresif, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.05 mata kepada 1,499.44 daripada 1,498.39 yang dicatatkan semalam.

Indeks itu dibuka meningkat 1.58 mata kepada 1,499.97.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 213 berbanding 102 manakala 245 kaunter lain tidak berubah, 1,687 tidak diniagakan dan 49 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 269.26 juta unit bernilai RM82.23 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, walaupun susut baru-baru ini, indeks utama itu dijangka menguji semula paras 1,500 dengan berasaskan petunjuk daripada sentimen semalaman Wall Street yang positif.

Menurutnya, saham-saham berharga rendah kekal kukuh di tengah-tengah minat belian ketara namun sebarang tindakan belian berlebihan dalam kebanyakan saham di Bursa Malaysia akan menarik aktiviti pengambilan untung di masa akan datang.

Di peringkat global, data ekonomi AS yang lebih kukuh daripada jangkaan berkemungkinan terus memberi sokongan bagi pemulihan selanjutnya di Wall Street.

Dari segi komoditi, firma pembrokeran itu berkata minyak mentah Brent pulih daripada penurunan sebelum ini apabila ditutup melepasi paras AS$87 setong berikutan penyusutan melebihi jangkaan dalam inventori gas asli.

Selain itu, harga minyak sawit mentah (MSM) juga meningkat sedikit dan menghampiri RM3,800 satu tan.

“Kami menjangkakan sektor tenaga akan menjadi tumpuan seiring dengan pemulihan harga minyak mentah. Sentimen positif semalaman di Nasdaq berkemungkinan menarik minat dagangan bagi sektor teknologi.

“Di samping itu, angka kukuh prestasi Capital A (yang diumumkan semalam) akan turut meningkatkan saham berkaitan penerbangan dan pelancongan,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik satu sen kepada RM8.79, Public Bank susut satu sen kepada RM4.27, Petronas Chemical turun empat sen kepada RM8.47, CIMB rugi dua sen kepada RM5.70 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM9.52.

Bagi saham aktif, MMAG naik setengah sen kepada 2.5 sen, ATA IMS dan Cypark masing-masing meraih 3.5 sen kepada 43 sen dan 99.5 sen manakala Tanco menambah satu sen kepada 36 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 11.73 mata kepada 10,892.65, Indeks FBMT 100 meraih 12.86 mata kepada 10,566.96 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 23.68 mata kepada 11,172.81.

Indeks FBM 70 menambah 40.22 mata kepada 13,719.69 manakala Indeks FBM ACE meraih 21.66 mata kepada 5,709.25.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.47 mata kepada 191.02, Indeks Tenaga menokok 3.82 mata kepada 874.46 dan Indeks Perladangan meraih 23.28 mata kepada 6,866.89 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 19.23 mata kepada 16,484.56.

-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker