Polis buru suspek utama kebakaran gudang pakaian

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai suspek utama terbabit dalam kes khianat dengan api membabitkan dua kebakaran di gudang pakaian di Jalan 2/17 Mutiara Fadason, di sini, baru-baru ini yang membabitkan kerugian lebih RM1 juta.

Suspek utama berkenaan, G Logeswaran berusia 41 tahun yang beralamat di M2-3-14 Jalan Pandan Indah 6/1 Pandan Indah 55100 Kuala Lumpur, dipercayai dapat membantu untuk menyelesaikan siasatan kes itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata polis menerima laporan kejadian pertama kebakaran gudang pakaian daripada pengurusnya yang berusia 31 tahun (pengadu), jam 4.08 pagi pada 6 Januari lalu.



“Kebakaran itu berjaya dipadamkan yang mana ia hanya meliputi kawasan bahagian hadapan gudang saja. Semakan kamera litar tertutup di kawasan itu mendapati kebakaran bermula jam 3.06 pagi di mana terdapat kelibat suspek memanjat tembok dan membaling sesuatu ke arah gudang dan selepas itu nampak nyalaan api.

“Kerugian dianggarkan sebanyak RM4,000 yang membabitkan kerosakan peti ais, sofa serta peti suis elektrik yang berada di bahagian luar gudang. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pada 11 Januari kira-kira jam 4.30 pagi, polis menerima satu lagi laporan mengenai kejadian kebakaran membabitkan gudang yang sama.

Beliau berkata, kejadian dilaporkan berlaku di bahagian belakang dalam gudang berkenaan dan semua suspek diupah RM10,000 untuk membakar gudang



“Selepas kebakaran berjaya dipadam oleh bomba, pengadu mendapati stok baju Melayu dan lain-lain barang tidak pasti sudah terbakar.

“Anggaran jumlah stok baju Melayu yang terbakar adalah sebanyak 14,400 helai. Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM1.5 juta. Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.

Eng Lai berkata, berdasarkan hasil risikan yang dijalankan, sebanyak enam serbuan dibuat di beberapa lokasi yang berbeza di sekitar Selangor.

Katanya, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul itu dilakukan 11 malam 15 Januari sehingga kira-kira jam 4.30 pagi 18 Januari lalu.



“Hasil serbuan, polis berjaya menahan sembilan suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 34 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes itu.

“Turut dirampas ketika tangkapan adalah sebuah motosikal dan pakaian yang dipercayai dipakai suspek serta satu tong minyak berisi petrol yang digunakan untuk membakar gudang itu.

“Kesemua orang kena tuduh (OKT) direman sehingga 26/01/2023 (semalam). Pihak polis juga mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan penyalahgunaan dadah. Hasil ujian saringan air kencing mendapati lima suspek positif dadah dan empat suspek lagi negatif,” katanya.

Beliau berkata, semalam atas arahan Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur, dua suspek dituduh bagi kejadian pertama manakala tiga suspek lagi dituduh bagi kejadian kedua mengikut Seksyen 435 KK.



Menurutnya, suspek yang lain dijadikan saksi pendakwaan.

“Kesemua suspek yang dituduh tidak mengaku salah dan ditawarkan jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Mac depan.

“Motif kejadian setakat ini mendapati suspek diupah untuk membakar gudang yang berkenaan. Semua suspek yang dituduh dipercayai adalah orang upahan untuk melakukan pembakaran gudang itu.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan individu itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Izzat Jamaluddin di talian 017-7331772 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button