Benarkah teras bumi sudah berhenti berputar?
Washington: Satu kajian mendapati teras bumi (inner core) sudah berhenti berputar dan berkemungkinan kini berputar pada arah bertentangan, lapor CNN.
Kajian oleh ahli sains penyelidikan bersekutu, Yi Yang dan profesor Xiaodong Song dari Universiti Peking diterbitkan dalam jurnal Nature Geoscience mendapati gelombang seismik daripada gempa bumi sejak 1960-an.
Berdasarkan penyelidikan, mereka mendapati teras bumi berhenti berputar sejak 2009.
“Pemerhatian mendapati teras sudah berhenti berputar dalam beberapa dekad kebelakangan ini dan mungkin berputar pada arah berbeza.
“Sejak dekad antara 1980 dan 1990, kami melihat perubahan yang jelas tetapi tidak nampak banyak perubahan antara 2010 hingga 2020,” kata Song.
Putaran teras dalam didorong oleh medan magnet yang dihasilkan dari teras luar dan diseimbangkan oleh kesan graviti mantel.
Mengetahui bagaimana teras dalam berputar boleh menerangkan cara lapisan itu berinteraksi dan proses lain di dalam Bumi.
Song dan Yang berpandangan bahawa ketidakseimbangan kecil dalam daya elektromagnet dan graviti boleh memperlahankan putaran, malah berputar secara bertentangan.
Mereka percaya ia sebahagian daripada kitaran tujuh dekad dan titik perubahan berlaku pada awal 1970-an.
Bagaimanapun, Ahli geofizik Universiti Kebangsaan Australia, Hrvoje Tkalcic berbeza pandangan daripada kajian itu.
“Teras dalam bumi tidak pernah berhenti berputar. Penemuan kajian itu mungkin bermaksud teras dalam kini selari dengan seluruh planet berbanding sedekad lalu apabila ia berputar sedikit lebih cepat.
“Tidak ada sesuatu yang dahsyat akan berlaku,” katanya.
Pengarang The Earth’s Inner Core: Revealed by Observational Seismology itu berkata, analisis data kajian itu tepat namun penemuan kajian harus diambil dengan berhati hati kerana lebih banyak data dan kaedah inovatif diperlukan untuk menjelaskan perkara itu.
Buku dihasilkan Tkalcic yang menyentuh mengenai putaran teras dalam menganalisis kitaran teras dalam setiap 20 hingga 30 tahun, bukannya 70 tahun seperti dalam kajian terkini.
Agensi