Kanak-kanak 11 tahun maut nahas empat kenderaan

Oleh – Syeikh Baran


Kanak-kanak 11 tahun maut nahas empat kenderaan
MPV dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan lain di Gerik pada Isnin. Foto ihsan pembaca

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 55, Jalan Kuala Kangsar – Gerik dekat Selat Pagar di sini pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Zara Khayla Khairil Azrul disahkan maut di tempat kejadian.



Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kejadian itu melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Sienta dinaiki mangsa, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, lori tanpa muatan dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier.

Menurut beliau, Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 41 tahun bersama penumpang wanita berusia 39 tahun dari arah Gerik ke Lenggong.

“Manakala lori dipandu lelaki berusia 33 tahun, SUV dipandu lelaki berusia 57 tahun bersama isterinya warga Vietnam serta MPV dinaiki wanita berusia 62 tahun dan penumpang berusia 65 tahun bersama tiga kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun dari arah bertentangan.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, dipercayai pacuan empat roda terbabit telah hilang kawalan lalu melanggar ketiga-tiga kenderaan tersebut,” katanya.



Zulkifli berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa yang juga penumpang tengah MPV terbabit meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat.

“Lain-lain mangsa yang cedera dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Lenggong dan Hospital Gerik.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor R Kishen Raj di talian 011-26249291 bagi membantu siasatan.



Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button