Jerman juara dunia kali ketiga

Bhubaneswar, India: Jerman bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Belgium 5-4 menerusi penalti shoot out sekali gus meraih gelaran Piala Dunia ketiga mereka di Stadium Kalinga.

Kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas masa penuh dan mereka sekali lagi terikat 3-3 ketika penalti shoot out namun Jerman akhirnya keluar selaku pemenang.

Jerman yang pernah muncul juara dunia berturut-turut pada 2002 dan 2006, kembali menjulang piala berprestij itu selepas 17 tahun sekali gus mengecewakan Belgium.



Ia adalah kebangkitan kali ketiga mereka pada edisi kali ini selepas turut bangkit ketika menewaskan England dan Australia masing-masing pada aksi suku dan separuh akhir.

Belgium mendahului 2-0 menerusi gol Florent van Aubel minit ke-10 dan Tanguy Cosyns seminit kemudian selepas bermula cemerlang.

Niklas Wellen bagaimanapun memulakan kebangkitan Jerman dengan gol minit ke-29 sebelum Gonzalo Peillat menyamakan kedudukan minit ke-41.



Mats Grambusch meledak gol ketiga minit ke-48 untuk meletakkan Jerman di depan 3-2 buat kali pertama di pentas final dan ia sekali gus menyaksikan penyokong semakin teruja.

Bagaimanapun Tom Boon menjaringkan gol minit ke-59 untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot out namun akhirnya kemenangan milik Jerman.

Terdahulu, pasukan ranking pertama dunia, Australia tewas 1-3 kepada Belanda pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

Australia di depan menerusi Jeremy Hayward minit ke-13 tetapi Belanda bangkit menerusi gol Jip Janssen (m-33) dan Thierry Brinkman (m-35, m-48).



Untuk rekod, Malaysia tewas 0-4 kepada Belanda pada aksi peringkat Kumpulan C dan Jip adalah salah seorang yang meledak gol ketika itu.

Pada Piala Dunia 2018 di stadium sama, Australia menewaskan England 8-1 untuk meraih kedudukan ketiga.

“Australia adalah pasukan nombor satu dunia, jadi kami mengingatkan kepada diri sendiri ayuh tewaskan mereka dan akhirnya kami berjaya lakukannya. Selepas ini kami akan melakukan persediaan untuk Olimpik Paris dan cuba memberikan yang terbaik.

“Untuk kejohanan di India ini, ia amat istimewa dalam karier saya kerana dapat beraksi di dua stadium terbaik (di Rourkela dan Bhubaneswar),” kata pakar pukulan sudut penalti, Jip yang menjaringkan tujuh gol menerusi pukulan sudut penalti dan satu penalti stroke pada edisi kali ini.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button