Pelaburan industri muzik jana RM6.1 bilion ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Kolaborasi bersepadu industri muzik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mampu memacu pertumbuhan industri muzik tempatan dan meningkatkan ekonomi negara.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Public Performance Malaysia (PPM), Rosmin Hashim, berkata kejayaan ini diyakini dapat dicapai menerusi kerjasama antara semua pemegang hak muzik termasuk penyanyi, pemuzik, penulis lagu, syarikat rakaman dan penerbit.

“Saya percaya menerusi kerjasama bersama kementerian dan menteri, Datuk Seri Salahuddin Ayub, industri muzik tempatan dapat dibangunkan agar menjadi salah satu tiang utama pertumbuhan ekonomi negara,” kata Rosmin dalam satu kenyataan.

Memperincikan perkara itu, Rosmin berkata, kaji selidik berkaitan impak industri muzik kepada ekonomi negara yang dilaksanakan firma perunding berwibawa, PricewaterhouseCoopers (PwC) pada 2016 mendapati pelaburan industri muzik tempatan menjana nilai berganda RM6.1 bilion setahun kepada ekonomi negara.



Katanya, pencapaian itu menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 83,110 pekerja dalam tempoh setahun dan menyumbang cukai RM247 juta setahun kepada negara.

“Berdasarkan kaji selidik, amat jelas perniagaan industri muzik tempatan membawa kesan signifikan kepada ekonomi negara.

“Kolaborasi industri muzik dan kementerian dalam pelaksanaan pelbagai aktiviti pembangunan industri muzik boleh memacu pertumbuhan industri dan ekonomi negara,” katanya.

Berkongsi faktor lain yang turut menyumbang kepada perkembangan industri muzik, jelas Rosmin, Malaysia bertuah kerana diberkati pengkarya kreatif yang bukan sekadar jaguh kampung.



Tambahnya, kepelbagaian muzik dihasilkan penggiat muzik tempatan dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil turut memberi kelebihan kepada negara.

“Pengkarya mampu menghasilkan kandungan muzik bukan sahaja diterima peminat tempatan, malah luar negara.

“Muzik dan artis pelbagai bangsa seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Shila Amzah, Joe Flizzow, Fish Leong, Michael & Victor dan Mugen Rao berjaya menembusi pasaran Asia, termasuk Indonesia, China dan India.

“Malah, artis seperti Yuna berjaya melebarkan sayap ke pasaran dunia. Lagu dihasilkan komposer tempatan juga dirakam penyanyi popular peringkat antarabangsa.

“Kepelbagaian muzik dihasilkan penggiat industri muzik dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil memberikan Malaysia kelebihan yang membolehkan kandungan muzik dihasilkan menembusi pasaran Indonesia, China dan India kerana jumlah penduduk sangat tinggi, selain pasaran dunia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rosmin memuji usaha penggiat nasyid tempatan yang dilihat mempunyai potensi besar menembusi pasaran global.

Katanya, situasi itu sekali gus membina pasaran lebih besar untuk muzik Malaysia bagi meningkatkan pendapatan, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menerusi kenyataan itu, Rosmin turut mengalu-alukan cadangan penggiat seni untuk dikongsi demi pembangunan industri.

“Penggiat seni tempatan boleh memberi input relevan berkaitan inisiatif penting yang boleh disokong kementerian untuk membangunkan industri muzik tanah air secara berkesan, terutama membabitkan kutipan royalti penggiat muzik,” katanya.

Rosmin turut mengulas artikel Major & Minor tulisan penulis lirik terkenal, Ad Samad, baru-baru ini.

Menerusi artikel itu, Ad menjelaskan peranan dan kepentingan KPDN buat penggiat industri muzik tempatan yang tidak diketahui ramai.

Ad berkata, kementerian yang kini diterajui Salahuddin itu bukan sahaja bertanggungjawab terhadap bekalan dan harga barangan seperti telur, gula, minyak, ayam, ikan kembung dan sebagainya, tetapi terhadap harta intelek serta urusan membabitkan kutipan royalti penggiat muzik.

“Ia berikutan royalti penggiat muzik dari pengguna muzik dengan diuruskan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah punca kuasa kewujudan Akta Hak Cipta yang diselia kementerian itu,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker