Remiro paksa Real Madrid berputih mata
Madrid: Penjaga gol Real Sociedad, Alex Remiro beraksi cemerlang untuk memaksa Real Madrid seri 0-0, malam tadi, sekali gus menyaksikan Barcelona memiliki kelebihan lima mata di tangga teratas La Liga.
Selepas kelab Catalans itu menewaskan Girona pada Sabtu, Madrid perlu menang untuk hanya ketinggalan tiga mata dalam perebutan gelaran, tetapi ketangkasan Remiro memastikan pasukannya menduduki tangga ketiga liga dan mengekori rapat dua pasukan di atas.
Tiga percubaan Vinicius Junior diselamatkan oleh Remiro pada ketika anak buah Carlo Ancelotti beraksi cemerlang tetapi gagal menjaringkan gol.
Keputusan seri itu meneruskan aksi 2023 yang tidak menentu buat Real Madrid yang ketinggalan di belakang Barcelona dalam liga dan kalah di tangan skuad itu di final Piala Super Sepanyol, tetapi mara ke separuh akhir Copa del Rey selepas mengatasi Atletico Madrid pada masa tambahan, Khamis lalu.
“Ini adalah satu daripada perlawanan terbaik kami pada musim ini,” kata Ancelotti kepada media.
“Memang benar Barca beraksi cemerlang sekarang, tetapi musim masih panjang dan Januari memang sukar, tetapi pasukan saya mempamerkan peningkatan ketara dalam semua sudut, pertahanan, serangan serta fizikal.
“Pemain semakin meningkat, pemain yang cedera akan kembali dan kami yakin dalam beberapa bulan akan datang, kami akan menyerlah pada separuh kedua musim.”
Ancelotti memulakan perlawanan dengan meletakkan Eduardo Camavinga di posisi bek kiri berikutan kecederaan pemain lain dan bekas pemain tengah Rennes itu turut beraksi cemerlang.
Vinicius sepatutnya membuka jaringan sebelum rehat, tetapi rembatannya dihalang Remiro, yang sekali lagi menafikan pemain sayap Brazil itu pada awal babak kedua.
Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois menafikan percubaan bahaya Takefusa Kubo pada minit ke-60.
Remiro dilayangkan kad kuning kerana melengahkan permainan pada masa kecederaan dan keputusan seri itu menyaksikan Real Sociedad menduduki tempat ketiga dan ketinggalan tiga mata di belakang Madrid.
AFP