Ozil sertai Istanbul Basaksehir

LONDON: Mesut Ozil diumumkan sebagai pemain terbaharu Istanbul Basaksehir, kurang setengah jam selepas disahkan meninggalkan pencabar dari liga Turkiye, Fenerbahce.

Kontrak Ozil di Fenerbahce ditamatkan hampir empat bulan selepas dia ‘dibekukan’ daripada skuad selepas bertelagah mengenai kecergasannya dengan pemangku ketua jurulatih, Ismail Kartal.

Masa depannya tidak berubah di bawah kendalian pengurus baharu, Jorge Jesus yang terus tidak menggunakan bintang Arsenal namun laporan mengatakan penamatkan kontrak berkenaan dilakukan secara persetujuan bersama.

Selepas 29 minit keputusan dibuat naib juara Super Lig Turkiye itu disahkan, Ozil diumumkan menandatangani perjanjian baharu bersama pencabar dari bandar yang sama, Istanbul Basaksehir.

Dalam pengumuman menerusi video itu, mereka tidak menunjukkan muka pemain berusia 33 tahun itu tetapi hanya menambah ‘tag’ pada Twitter diikuti lagu popular Turki selama 35 saat nyanyian Tarkan Tevetoglu.

Istanbul Basaksehir berharap pemain itu menampilkan yang terbaik di Stadium Fatih Terim selepas tidak tampil dalam Super Lig bersama Fenerbahce sejak 20 Mac.

Ozil bermain 36 perlawanan buat Fenerbahce, menjaringkan sembilan gol dan tiga bantuan gol.

Pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan Arsenal pada Januari 2021 untuk berhijrah ke Turkiye namun berdepan kesukaran menyebabkan dia terpaksa menjalani latihan bersendirian selepas disingkirkan.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker