Bursa Malaysia dibuka rendah menjelang mesyuarat kadar faedah AS

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah bagi hari dagangan terakhir Januari pada Selasa apabila sentimen berubah berhati-hati susulan mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) selama dua hari bermula hari ini dengan ramai menjangkakan satu lagi kenaikan kadar faedah, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran turun 8.46 mata kepada 1,490.93 daripada 1,499.39 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama ini dibuka 5.60 mata lebih rendah kepada 1,493.79.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 241 berbanding 90, manakala 277 kaunter tidak berubah, 1,599 kaunter tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.



Jumlah dagangan sebanyak 304.22 juta unit bernilai RM118.91 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata bursa tempatan mengambil petunjuk daripada Wall Street dalam tempoh semalaman, dengan Purata Perindustrian Dow Jones merosot 261 mata manakala Nasdaq susut 228 mata apabila hasil berjangka 10 tahun Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada hampir 3.54 peratus.

“Di peringkat rantau, di Hong Kong, pasaran ekuiti mengambil tempoh bertenang dengan Indeks Hang Seng merosot 619 mata disebabkan beberapa aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan kukuh setakat tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bagaimanapun, beliau menganggap keadaan pasaran kekal kukuh memandangkan Goldman Sachs telah menaik taraf lagi China.



“Bagaimanapun, kita boleh katakan bahawa dagangan di bursa tempatan kurang memberangsangkan bagi kalangan saham mewah kerana indeks penanda aras tersekat dalam julat lima mata sejak dua minggu lepas.

“Oleh itu, kami berpandangan corak dagangan dijangka kekal sama hari ini dengan indeks cenderung ke arah aliran 1,495 hingga 1,505,” katanya.

Mengulas mengenai Belanjawan 2023 yang dijadualkan dibentangkan semula pada 24 Feb, beliau berkata minat belian mungkin kembali kepada saham pembinaan memandangkan banyak projek dilihat akan dilaksanakan untuk memulihkan ekonomi negara.

Antara kaunter wajaran tinggi, kaunter perbankan mendahului penurunan dengan Maybank dan CIMB masing-masing turun tiga sen kepada RM8.75 dan RM5.75, Public Bank tidak berubah pada RM4.26 manakala Petronas Chemicals susut lima sen pada RM8.40.

Bagi saham aktif, Vestland yang baru disenaraikan di Pasaran ACE menambah 7.5 sen kepada 40.5 sen, Hong Seng Consolidated turun satu sen kepada 19.5 sen manakala warannya kurang setengah sen kepada 1.5 sen, Barakah Offshore menokok satu sen kepada 6.5 sen dan Borneo Oil menambah setengah sen pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 55.57 mata kepada 10,854.06; Indeks FBMT 100 kurang 54.61 mata kepada 10,522.85 manakala Indeks FBM Emas Syariah susut 64.20 mata kepada 11,125.43.

Indeks FBM 70 menguncup 52.97 mata kepada 13,727.13 manakala Indeks FBM ACE susut 35.35 mata kepada 5,723.16.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.08 mata kepada 190.22; Indeks Tenaga kurang 6.51 mata kepada 886.78 dan Indeks Perladangan menguncup 40.43 mata kepada 6,809.63 serta Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 77.27 mata kepada 16,460.78.

– Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker