MPKPs batal acara hiburan karnival

Aksi gelek ghairah

KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) membatalkan semua acara hiburan yang dijadualkan berlangsung pada Karnival Jualan Lelong Utara di Dataran Dato Sheikh Ahmad, di sini, selepas berlaku kontroversi dalam persembahan seorang artis jemputan pada karnival itu.

Ia susulan tular satu video berdurasi 2 minit 18 saat yang menunjukkan persembahan seorang artis jemputan menyanyikan lagu dangdut dan memperagakan aksi gelek mengghairahkan sehingga menarik beberapa pengunjung lelaki dan wanita untuk menari bersama.

Yang Dipertua MPKPs, Norazlan Yahaya, berkata pihaknya sudah memanggil penganjur karnival itu semalam bagi membincangkan pelanggaran syarat yang berlaku membabitkan persembahan artis jemputan pada malam Sabtu lalu itu.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu pihak penganjur mengaku kesilapan dan pelanggaran syarat penganjuran serta memohon maaf secara lisan ketika perjumpaan berkenaan.

“Menyedari insiden ini memberikan persepsi negatif kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga kerajaan negeri Perlis secara tidak langsung, pihak penganjur juga sudah mengemukakan surat permohonan maaf secara rasmi kepada MPKPs dan kerajaan negeri.

“Malah, penganjur juga merayu supaya permit penganjuran karnival itu tidak dibatalkan dan dapat diteruskan sehingga 5 Februari ini bagi mengelakkan kerugian, selain kepada peniaga yang menyertai karnival itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, berdasarkan permohonan maaf selain mempertimbangkan kerugian yang akan dialami peniaga, MPKPs bersetuju membenarkan karnival jualan lelong berkenaan diteruskan dengan syarat hanya aktiviti jualan dibenarkan tanpa sebarang acara berbentuk hiburan.

“Khidmat pengacara atau DJ dibenarkan untuk tujuan pengumuman atau hebahan jualan serta selingan ringan kepada pengunjung.

“Kita juga sedang meneliti bentuk tindakan lanjut lain yang bersesuaian atau wajar dikenakan kepada pihak penganjur,” katanya.

 

 

 

 

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker