Penting menjaga hati sesama Muslim
Perhatian Nabi SAW terhadap pembinaan akhlak mulia dalam diri umatnya memang cukup luar biasa. Antaranya adalah dalam hal menjaga hati sesama Muslim kerana ia asas kekuatan dan perpaduan umat Islam. Hal ini amat dititikberatkan baginda walaupun dalam kumpulan yang paling kecil. Abdullah bin Umar RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila ada tiga orang, janganlah yang dua orang berbisik-bisik tanpa melibatkan orang yang ketiga.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu bertiga, maka janganlah yang dua orang berbisik-bisik tanpa yang ketiga kerana hal itu dapat mendukacitakannya (menyinggung perasaannya).” (Riwayat Muslim)
Larangan dua orang berbisik tanpa membabitkan orang ketiga ini jelas bertujuan menjaga hatinya supaya tidak mengguris perasaan. Meskipun hadis ini melarang, Imam an-Nawawi dalam Riyadh as-Solihin mengecualikan sekiranya memang ada keperluan untuk dua orang itu berbicara secara rahsia tanpa didengari oleh orang yang ketiga dengan izinnya. Menurut Imam an-Nawawi juga, termasuk dalam makna hadis, sekiranya dua orang bercakap dengan satu bahasa yang tidak difahami oleh orang yang ketiga.
Menjaga hati sesama Muslim juga termasuk menjaga maruah dirinya agar tidak mudah dicalarkan atau diburukkan oleh orang lain. Itban bin Malik RA bercerita semasa dia bersama Rasulullah SAW: “Ada seorang bertanya: ‘Di mana Malik bin ad-Dukhsyun?’ Lalu seorang lelaki menjawab: ‘Dia itu munafik, tidak mencintai Allah dan Rasul-Nya.’ Lantas Nabi SAW menegur: ‘Jangan kamu katakan demikian, bukankah kamu melihat dia mengucapkan La ilaha illa Allah, bagi mengharapkan dengannya reda Allah? Sesungguhnya Allah mengharamkan neraka bagi orang yang mengucapkan: La ilaha illa Allah bagi mengharapkan dengannya reda Allah.'” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW pernah menegur Aisyah RA atas perbuatannya memburukkan Safiyyah RA. Aisyah bercerita: “Aku pernah berkata kepada Nabi SAW, ‘Cukuplah bagimu Safiyyah itu seperti ini dan seperti ini’, maksudnya beliau bertubuh pendek. Lalu baginda menegur: “Sungguh engkau telah mengatakan suatu kalimah, sekiranya ia dicampur dengan air laut, nescaya ia akan dapat menjadikannya berubah rasa!” (Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi, katanya: Hasan sahih)
Nabi SAW mahu mengajar umatnya bahawa seorang Muslim yang baik akan saling menjaga saudara Muslimnya yang lain. Baginda SAW bersabda: “Tidaklah seseorang hamba menutupi aib seorang hamba yang lain di dunia melainkan Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat kelak.” (Riwayat Muslim)
Abu Hurairah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara bagi seorang Muslim yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya, meninggalkannya tanpa pertolongan, membohonginya dan menghinanya. Ketakwaan itu terletak di sini – sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali- cukuplah seseorang itu mempunyai sikap buruk apabila dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap orang Muslim ke atas Muslim lain itu adalah haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.” (Riwayat Muslim)
Jelasnya, lidah yang menjadi punca kepada banyak pergaduhan dan permusuhan mestilah dijaga. Kata Imam an-Nawawi dalam Riyadh as-Solihin: “Ketahuilah bahawa sewajarnya bagi setiap mukallaf menjaga lidahnya daripada segala perkataan kecuali perkataan yang jelas terdapat maslahat padanya. Dan apabila berkata-kata dan meninggalkannya itu sama tara dalam suatu maslahat, maka yang sunah ialah menahan diri daripadanya kerana boleh jadi kata-kata yang harus dapat membawa kepada yang haram atau makruh. Hal sedemikian banyak berlaku dalam adat kebiasaan. Sedangkan kesejahteraan itu tidak dapat diganti oleh suatu apa pun.”
Begitu juga mata yang boleh menjadikan orang lain benci atau tidak selesa juga perlu dijaga. Kata Sahl bin Sa’d RA: “Seorang lelaki pernah mengintai melalui suatu lubang ke kamar Nabi SAW dan waktu itu Nabi SAW sedang memegang penyikat untuk menyisir rambutnya, lalu Nabi SAW menegur: “Sekiranya aku tahu kamu mengintip, nescaya akan aku cucukkannya ke matamu. Sesungguhnya disyariatkan meminta izin itu adalah kerana bagi menjaga pandangan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perhatian Nabi SAW terhadap hati dan perasaan orang lain juga diamalkan sehingga dalam hal ibadah sekalipun. Anas bin Malik RA meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya tatkala aku mula untuk menunaikan solat dan aku ingin memanjangkannya, namun tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi sehingga aku pun memendekkan solatku, disebabkan aku tahu ibunya akan berasa amat susah hati kerana tangisannya itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)