Shuib, Watie curi perhatian

Kuala Lumpur: Kehadiran penyampai radio dan pelawak Shuib bersama wanita yang sedang dikenalinya, Watie Hanifiah pada 25 Years Lah Ahmad Live in Concert di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Art Centre (PJPAC), semalam mencuri perhatian ramai.

Pasangan itu tampil berpakaian sedondon serba hitam dan kuning.

Kehadiran Shuib mula menjadi perhatian apabila Lah mendendangkan lagu Adinda sambil beramah mesra dengan penonton yang hadir.



Malah, Watie juga turut memuat naik video di Instagram Story sebagai tanda sokongan kepada bekas anggota kumpulan V.E. itu.

Perkongsian yang dimuat naik oleh Watie itu turut memperlihatkan bahagian sisi wajah Shuib yang duduk di sebelahnya.

Terdahulu, hubungan Shuib hangat kembali apabila Watie turut berada di sebuah restoran ketika makan malam bersama anak-anaknya berdasarkan gambar dimuat naik.

Bagaimanapun, menerusi temubual bersama Harian Metro, Shuib menafikan bakal mendirikan rumah tangga dengan Watie pada Mac hadapan.



Malah, Shuib menegaskan enggan membelakangi keluarganya dalam sebarang keputusan yang diambil.

Sementara itu, penyanyi, Lah Ahmad menitiskan air mata ketika mempersembahkan lagu Di Pintu Syurga tatkala menyempurnakan segmen penghormatan (tribute) untuk dua sahabat seperjuangannya, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin dan Allahyarhamah Adibah Noor.

“Sarah adalah antara sahabat seperjuangan saya yang bersama-sama naik dalam industri.



“Antara kenangan yang paling saya ingati adalah, ketika dia berkongsi bagaimana suaminya, Shuib menguratnya menggunakan lagu Ayu,” kata Lah.

Selain tampil solo mempersembahkan lagu-lagu popularnya, Lah juga turut bergabung bersama kumpulan nasyid Inteam, menerusi lagu popular mereka, Kasih Kekasih dan Shazzy menerusi lagu Kenapa.

Kehadiran Aina Abdul menyampaikan lagu duet Tunggu Kamu bersama Lah turut menjadi kemuncak konsert berkenaan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button