Sesi sekolah mula jam 8 pagi cetus perdebatan

KUALA LUMPUR: Cadangan agar sesi persekolahan dianjakkan kepada jam 8 pagi, iaitu lewat 30 minit berbanding jadual sedia ada ketika ini, mengundang perdebatan dengan pelbagai pandangan daripada ahli akademik dan aktivis perguruan.

Ada yang berpandangan lebih wajar waktu persekolahan dikekalkan mengikut jadual sedia ada dengan mengambil kira faktor pembelajaran dua sesi di sekolah sama.

Tidak kurang juga yang mengesyorkan sesi persekolahan wajar dimulakan pada jam 8 bagi memudahkan ibu bapa mengatur jadual perjalanan harian masing-masing.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, ketika melontarkan semula cadangan itu, berkata syor anjakan jadual sesi persekolahan ke jam 8 pagi itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan rakyat.



Beliau berkata, kerajaan seharusnya menitikberatkan rasa belas kasihan dan empati kepada guru, ibu bapa dan murid di kawasan bandar kerana ada yang terpaksa bangun seawal jam 4.30 pagi untuk ke sekolah.

Katanya, syor berkenaan diperkuatkan dengan hujah membabitkan guru, ibu bapa dan murid yang mendiami kawasan bandar terpaksa meredah kesesakan lalu lintas untuk ke sekolah, seawal jam 6 pagi.

“Di sekolah pedalaman pula, dalam keadaan hari masih gelap, anak kecil terpaksa meredah jalan becak, berlumpur serta denai belukar untuk ke sekolah. Ada murid yang terpaksa berperahu ke sekolah.

“Malah ada murid dan guru yang tidak sempat bersarapan bersama keluarga. Terpaksa bergegas ke sekolah. Apa salahnya kerajaan lakukan sesuatu yang betul untuk kebaikan rakyat dengan mulakan sesi persekolahan pada jam 8 pagi.



“Seiring konsep Malaysia Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan slogan ‘Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera’ diketengahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, saya cadang sistem persekolahan di Semenanjung bermula jam 8 pagi,” katanya.

Sebelum ini, cadangan sama pernah dilontarkan EXCO Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, ketika sidang Dewan Undangan Negeri, pada 2018.

Beliau dilaporkan berkata, sesi persekolahan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) bermula jam 8 pagi, berbanding jam 7.30 pagi di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan.

Pendekatan itu, katanya, mendapat maklum balas positif ibu bapa kerana ia memberi ruang lebih selesa kepada mereka, sekali gus mengelak suasana kelam kabut aliran trafik pada waktu pagi.

Sementara itu, aktivis perguruan, Mohd Fadli Salleh, menerusi hantaran di Facebook, menjelaskan pendiriannya tidak bersetuju dengan syor itu dan memilih agar sesi persekolahan diteruskan mengikut jadual sedia ada.

Ini kerana, katanya, kebanyakan sekolah di kawasan bandar menjalankan pembelajaran secara dua sesi, menyebabkan perjalanan sesi petang akan terganggu jika syor berkenaan dilaksanakan.

Beliau sebaliknya mengesyorkan agar autonomi diberikan kepada sekolah berkenaan bagi menetapkan tempoh sesuai bagi sesi pembelajaran dimulakan di premis pendidikan terbabit.

“Banyak sekolah di bandar (ada) dua sesi. Alangkan sekolah mula jam 7.30 (pagi) pun murid sesi petang kena pulang jam 6.30 petang. Kalau sekolah sesi pagi mula lewat, pukul berapa sesi petang nak pulang?

“Lagi satu, di Borneo, pagi (waktu siang) mereka cepat. (Jam) 7 pagi sudah terang benderang. Yang terbaik adalah bagi autonomi pada sekolah jam berapa nak bermula,” katanya.

Mengenai aspek memudahkan ibu bapa mengatur perjalanan harian, Mohd Fadli berkata, jadual sedia ada lebih memudahkan golongan berkenaan menyusun rutin mereka, berbanding sesi persekolahan dimulakan pada jam 8 pagi.

“Kebiasaannya parents (ibu bapa) masuk kerja jam 8 pagi. Lepas hantar anak terus shoot pergi kerja. Senang. Kalau (murid) masuk jam 8 (pagi), siapa mahu hantar anak ke sekolah? Naik bas sekolah, boleh tahan kos sekarang.

“Sekolah satu sesi di kampung yang majoriti parents kerja ladang, sawah, menoreh (getah), sesuailah untuk lewatkan sikit masa pembelajaran pun.

“Mak ayah mereka tak terikat dengan waktu kerja pejabat antara jam 8 pagi hingga 4 petang. Lagi pun satu sesi kan? Kalau di bandar, memang kurang sesuai, tambahan pula sekolah dua sesi,” tegasnya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker