Ten Hag selar terjahan Carroll terhadap Eriksen

Manchester: Erik ten Hag menggesa badan bola sepak menghapuskan jenis terjahan keras yang menyaksikan pemain tengah Manchester United, Christian Eriksen perlu berehat selama tiga bulan.

Eriksen mengalami kecederaan buku lali selepas dia diterjah keras oleh penyerang Reading, Andy Carroll ketika United menang pusingan keempat Piala FA.

Bintang Denmark berusia 30 tahun itu memainkan peranan penting buat United dalam penampilan sulungnya musim ini bersama kelab berkenaan, selepas 31 kali beraksi untuk semua kejohanan.

Tetapi kini United berkata, Eriksen akan diketepikan sehingga ‘akhir April atau awal Mei”, menghalang harapan Ten Hag untuk menamatkan musim ini dengan jayanya.



Carroll tidak dikenakan sebarang kad untuk terjahan pada separuh masa kedua, tetapi bekas pemain Liverpool itu dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran terhadap Tyrell Malacia dan Casemiro.

“Saya kecewa mengenainya,” kata Ten Hag berkaitan kurangnya hukuman terhadap kekasaran dilakukan Carroll.

“Saya rasa bola sepak perlu menetapkan had, terjahan, untuk mempertahankan pemain.

“Saya rasa apa yang bola sepak mahukan ialah pemain terbaik boleh beraksi di padang.



“Terjahan ini dan dua lagi selepas itu, ia tidak berhak berada di atas padang kerana ia berisiko tinggi boleh mencederakan lawan anda, jadi saya rasa ia lebih teruk. Jadi saya memikirkan mengenainya.”

Ten Hag berkata ia bukanlah kali pertama dia melihat pemain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) terlepas selepas melakukan terjahan kasar.

“Contohnya, saya melihat pada aksi menentang Crystal Palace apabila mereka menyiku (Lisandro) Martinez dan saya tidak tahu sama ada ia wisel atau sepakan percuma. Tapi tiada siapa yang masuk campur,” kata Ten Hag menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala Liga menentang Nottingham Forest awal pagi esok.

“Saya memikirkan perkara seperti itu kerana ia berisiko mendatangkan kecederaan kepada pemain.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker