Barca kukuhkan kedudukan teratas

Sevilla: Barcelona melebarkan penguasaan tangga teratas LaLiga kepada lapan mata selepas Raphinha dan Robert Lewandowski menjaringkan gol untuk memperoleh kemenangan 2-1 ke atas Real Betis.

Tidak tewas dalam 14 perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan, Barcelona mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dalam LaLiga dan memberi tekanan kepada musuh ketat Real Madrid yang berusaha untuk mengekalkan kejuaraan.

Barca mendahului kedudukan dengan 50 mata, lapan di hadapan pasukan di tempat kedua Real, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan menjadi tuan rumah kepada Valencia awal pagi esok.

Betis berada di tempat keenam dengan 31 mata.

“Kami beraksi dalam perlawanan yang hebat,” kata pengurus Barca, Xavi Hernandez kepada Movistar Plus.

“Kami berjaya menghalang Betis daripada menguasai perlawanan, yang juga salah satu kunci kepada aksi ini. Saya gembira dengan keputusan dan cara kami bermain. Kami bertambah baik.

“Kami sedang mendahului liga. Kami mantap dalam pertahanan. Kami bekerja dengan baik. Kerja itu membuahkan hasil. Kami bermain salah satu perlawanan terbaik musim ini. Saya sangat berpuas hati.”

Barcelona mengawal permainan pada malam yang sejuk di Sevilla, tetapi digagalkan oleh penjaga gol Rui Silva selepas menyelamatkan tiga percubaan termasuk daripada Pedri.

Betis mempunyai peluang pada serangan balas pantas dan hampir menjaringkan gol melalui Borja Iglesias dan Sergio Canales namun usahanya disekat oleh Jules Kounde.

Ia mengambil masa 65 minit untuk Barca memecah kebuntuan dengan Raphinha menjaringkan gol dari jarak dekat.

Penjaring terbanyak LaLiga, Lewandowski, kembali selepas penggantungan tiga perlawanan, merembat masuk dari sepakan sudut 15 minit kemudian.

Kounde menjaringkan gol sendiri pada minit ke-85 ketika dia cuba menghalang hantaran lintang Youssouf Sabaly dengan dadanya, tetapi pelawat bertahan untuk meraih tiga mata.

Reuters

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker