Menantu kiriman Tuhan

Seri Kembangan: “Saya sudah anggap emak mentua sama seperti ibu sendiri malah tiada beza taraf kedua-duanya.

“Jadi macam mana jaga ibu bapa kandung, begitulah saya jaga mentua,” kata Muhammad Syaamil Sabarudin.

Muhammad Syaamil, 30, ibarat lelaki kiriman Tuhan kerana bukan hanya berkahwin dengan isterinya, Nurfatin Amira Abdul Razak, 30, atas dasar cinta dan sayang.



Malah, Muhammad Syaamil sanggup menerima dan membantu isterinya itu menjaga dan menguruskan ibu mentuanya yang terlantar akibat strok seluruh badan.

Bercerita lanjut, Muhammad Syaamil berkata, dia berkahwin dengan isterinya pada Januari tahun lalu selepas lapan tahun berkenalan.

“Saya berkenalan dengan isteri pada 2015 ketika ibunya sihat sebelum diserang strok tahun berikutnya akibat darah tinggi serta kencing manis.

“Jadi, sebelum berkahwin lagi, saya sudah melihat susah payah isteri dan kasihan melihat dia menguruskan sendiri semuanya memandangkan emak (ibu mentua) terlantar, tidak dapat bercakap malah matanya juga kabur.



“Oleh kerana itu, saya tiada masalah untuk bawa sekali ibu mentua tinggal bersama selepas berkahwin kerana selagi terdaya, saya akan bantu isteri.

“Lagipun, saya pernah lihat ibu saya sendiri menjaga nenek sejak kecil lagi, jadi faham keperluan serta kepayahan menjaga orang sakit,” katanya ketika dihubungi.

Bercerita lanjut pengalamannya, Muhammad Syaamil mengakui bukan mudah untuk menjaga orang sakit kerana menuntut kesabaran tinggi.

“Cabarannya mesti ada lebih-lebih lagi apabila menjaga pesakit terlantar yang tidak boleh bercakap kerana ada kalanya kita tidak faham apa dia mahu.



“Tambahan, emak tidak boleh bercakap dan apabila sakit, dia akan tunjuk perasaan dan memberontak hingga isteri pernah beberapa kali tertekan.

“Bagaimanapun, saya dan isteri perlu banyakkan sabar dan cuba faham emosi emak. Daripada segi tugas pula, isteri lebih banyak menjaga ibunya namun saya akan bantu lakukan kerja berat seperti angkat dan alihkan daripada katil ke kerusi roda untuk duduk atau mandi,” katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Muhammad Syaamil berkata, dia hanya tahu video berkenaan mendapat perhatian ramai selepas diberitahu isteri.

“Saya bukan seorang yang suka bermain telefon bimbit termasuk ketika keluar berjalan dan selalunya, isteri yang suka rakam video sekadar suka-suka dan untuk kenangan.



“Isteri juga yang beritahu video itu dapat tontonan tinggi. Saya ada baca komen dan Alhamdulillah, maklum balas positif cuma ada segelintir mempersoalkan kenapa tidak bawa emak naik lif, bukan eskalator tetapi niat ketika itu adalah untuk cuba uji kekuatan dan mempercepatkan masa untuk sampai ke bawah, itu saja,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Nurfatin Amira bersyukur kerana dijodohkan dengan suami yang boleh menerima ibunya daripada awal perkenalan hingga kini.

“Daripada awal perkenalan lagi saya sudah cakap dengan dia (suami) yang emak saya sakit jadi tiada masa untuk keluar ‘dating’ kerana perlu jaga emak sepenuh masa.

“Saya pernah meminta suami untuk mencari orang lain sebagai pengganti kerana kalau berkahwin mungkin tidak boleh fokus sepenuhnya padanya (suami) kerana perlu bahagikan masa tetapi dia tetap setia dan tunggu saya.



“Jujurnya saya tidak yakin pada mulanya dan risau jika dia malu dengan keadaan keluarga saya.

“Lama kelamaan, saya nampak keikhlasan suami terima emak serta sikapnya yang lebih dahulukan ibu bapa dan pada masa sama beri layanan baik kepada saya,” katanya yang memuat naik video suaminya di TikTok dengan niat menjadikannya sebagai kenangan serta memberi inspirasi untuk mereka di luar sana yang ada ibu bapa sakit sepertinya tidak mudah berputus asa dan menjaga mereka selagi masih ada.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button