Dakwaan air paip rasa masin, menteri minta penjelasan JANS

Kota Kinabalu: Kementerian Kerja Raya Sabah memandang serius dakwaan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berhubung bekalan air bersih di daerah itu yang dikatakan rasa masin selain berdepan masalah tekanan rendah.

Menterinya, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berhubung dakwaan itu dan meminta pengarahnya mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, beliau mengambil berat keluhan rakyat Sandakan yang disuarakan Vivian termasuk berkaitan rasa tidak puas hati terhadap maklum balas yang diberikan Pengarah JANS berhubung isu perkhidmatan bekalan air di daerah itu.

“Saya ada berhubung dengan YB (Yang Berhormat) Vivian semalam. Dia menyuarakan isu berkaitan air yang masih terasa masin dan tekanan air rendah sedang dialami di Sandakan.

“Beliau juga menyatakan rasa tidak puas hati dengan maklum balas dari JANS,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Vivian berhubung bekalan air dibekalkan JANS kepada pengguna di Sandakan yang rasa masin, selain tekanan rendah dan kerap terputus.

JANS terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Kerja Raya Sabah.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, beliau akan memanggil Pengarah JANS untuk menjelaskan dakwaan itu hari ini.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Pengarah JANS tengah hari ini untuk mendapatkan status dan langkah bagi mengurangkan masalah yang sedang dihadapi,” katanya.

Dalam kenyataannya semalam, Vivian meminta supaya Pengarah JANS dilucutkan jawatan serta-merta dan memohon maaf atas pengurusan yang gagal dan ketidakcekapan kerja menyebabkan penduduk Sandakan terpaksa menggunakan dan meminum air masin yang didakwa berlarutan hampir tiga bulan.

Pada masa sama, beliau mendakwa bekalan air di Sandakan juga sering terputus berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud beberapa kali untuk kerja-kerja pembaikan paip.

Vivian turut mendakwa ramai pengguna yang terkesan akibat keadaan itu termasuk mengalami alahan kulit disebabkan kualiti air yang rendah selain berdepan ketidakselesaan berikutan bekalan sering terputus.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker