Penyewa dari neraka
Kuala Lumpur: Beruntung bagi pemilik kediaman yang mendapat penyewa bertanggungjawab dan menjaga rumah seperti milik mereka sendiri.
Namun, ada segelintir daripada penyewa ini yang bersikap sambil lewa sehingga tergamak meninggalkan rumah didiami dalam keadaan kotor dan menjijikkan.
Bukan itu sahaja, ada juga penyewa yang digelar ‘penyewa dari neraka’ kerana mengambil kesempatan tidak membayar sewa rumah berbulan-bulan lamanya, malah ada juga sehingga bertahun.
Hal ini membebankan tuan rumah kerana mereka terpaksa menanggung kerugian sehingga puluhan ribu ringgit angkara perbuatan terbabit.
Empat tahun ‘menginap’ percuma
Dianggarkan nilai kerugian mencecah RM50,000 terpaksa ditanggung seorang tuan rumah kerana berdepan sikap ‘penyewa dari neraka’.
Penyewa berkenaan bukan sahaja tidak menjelaskan bayaran sewa rumah selama empat tahun, malah meninggalkan tunggakan utiliti kira-kira RM800 selain tidak menyelenggara sepanjang mendiami rumah terbabit sejak 2018.
Anak pemilik kediaman terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Jejai berkata, rumah terbabit disewakan bapanya kepada sebuah keluarga pada pertengahan 2017 dengan kadar RM800 sebulan.
“Saya hanya dimaklumkan penyewa seorang lelaki tempatan dan sudah berkeluarga menyewa hampir lima tahun lalu.
“Apabila bapa meninggal dunia pada Disember 2021, saya mengambil alih urusan mengutip sewa dan mendapati penyewa tidak menjelaskan bayaran sehingga tiga bulan berikutnya pada Februari, Mac dan April.
“Saya bertemu dengannya kerana mahu tuntut tunggakan sewa dan penyewa memberi alasan tiada duit. Saya kemudian meminta dia keluar rumah dengan cara baik supaya dapat mencari penyewa baharu.
“Penyewa bertegas tidak mahu keluar rumah malah melontar kata-kata kesat berbaur ugutan.
“Permainan ‘tarik tali’ ini berakhir pada pertengahan tahun lalu selepas saya menggunakan khidmat peguam,” katanya.
Menurutnya, penyewa itu mengambil kesempatan daripada kebaikan arwah bapanya yang tidak suka bergaduh dengan orang.
“Saya jadi geram sebab dia mengaitkan kejadian yang tunggakan mencecah puluhan ribu atas kesalahan bapa saya yang mudah lembut hati.
“Ibu saya juga tidak pernah mengetahui hal bapa yang tidak pernah mendapat bayaran sesen pun daripada penyewa.
“Saya cuma mahu rumah itu kembali kepada kami untuk memudahkan urusan faraid yang masih tertangguh.
“Saya juga terpaksa menanggung kos RM12,700 untuk kos mengusir kerana terpaksa menggunakan kuasa campur tangan mahkamah dalam menyelesaikan konflik dengan penyewa,” katanya.
Jejai berkata, keluarganya masih dalam perbincangan untuk menjual rumah bagi mengelak berdepan konflik penyewa lagi.
“Keluarga sebelah bapa hanya tinggal adik perempuan yang juga sudah uzur. Kami ada berbincang dan ibu saudara menyerahkan rumah itu kepada ibu.
“Mudahnya mungkin kami jual dan wang hasil jualan akan diagihkan mengikut faraid. Rasanya tidak sanggup untuk berdepan penyewa sebegini.
“Duit pulangan tidak seberapa, mata dan hati saya sakit melihat rumah arwah bapa tidak dijaga baik oleh penyewa,” katanya.
Menurutnya, kerosakan teruk membabitkan jubin lantai bilik air dan paip selain perabot dan pintu rumah.
Kepala paip, lampu lesap dikebas
Masih trauma. Itu yang dirasakan Mazniwati Abdul Malik, 41, apabila rumah sewanya ditinggalkan begitu sahaja seperti tongkang pecah dan penyewa lari tidak membayar sewa lebih tiga bulan.
Menurutnya, penyewa dikatakan melarikan diri tanpa meninggalkan kunci dan tidak dapat dihubungi sehingga sekarang.
“Saya tidak pernah berjumpa penyewa dan kami berhubung melalui WhatsApp disebabkan awal 2022 belum boleh rentas negeri.
“Penyewa orang tempatan dan berkeluarga. Saya sangka mereka bertanggungjawab, namun ambil kesempatan kerana saya tinggal di Pahang.
“Berbulan tidak bayar sewa rumah dan selalu tangguh bayar, jadi saya maklumkan hendak renovate rumah serta minta mereka keluar.
“Mereka senyap sahaja dan tidak maklumkan pada saya bila akan keluar dari rumah.
“Saya ambil keputusan melihat sendiri keadaan rumah dan apabila sampai, mereka sudah tiada di sana dan keadaan rumah menyedihkan.
“Sampah ditinggal begitu sahaja, bersepah, berbau busuk, banyak yang rosak dan saya terpaksa guna gergaji besi untuk buka pagar.
“Paling pelik semua kepala paip dan lampu mereka buka dan bawa lari, nasib baik kipas masih ada. Saya hubungi penyewa dan dia langsung tidak jawab telefon,” katanya.
Menurutnya, penyewa itu tidak membayar bil utiliti RM1,000.
“Saya trauma dan serik sewakan kepada orang luar dan sekarang saya sewa kepada keluarga terdekat,” katanya.
Pengalaman itu mendorongnya menyarankan kepada pemilik rumah supaya menyediakan kontrak perjanjian dimatikan dengan setem jika hendak menyewakan kediaman mereka.
“Dalam kes ini, saya bersangka baik dengan penyewa, jadi tidak buat kontrak perjanjian apatah lagi ketika itu tidak boleh rentas negeri.
“Pengajaran kepada pemilik rumah lain, tidak apa kita keluar sedikit modal sediakan dokumen perjanjian sudah dimatikan setem kerana apabila kejadian seperti ini berlaku, yang menanggung kerugian adalah kita,” katanya.
Ingatkan ada mayat dalam rumah
“Bau busuk macam bangkai, kami ingatkan ada mayat dalam longgokan kain yang ditinggalkan penyewa,” kata Amurosidah Abdullah, 36, apabila ditanya mengenai pengalaman membersihkan rumah yang ditinggalkan ‘penyewa dari neraka’.
Pengalaman tahun lalu itu dihadapi pengasas Bee Cleaning terbabit yang terkejut melihat kediaman berkenaan selepas diminta tuan rumah membersihkannya.
“Kasihan dengan tuan rumah kerana niat baiknya dibalas buruk dan penyewa lari sebab enam bulan tidak bayar sewa.
“Pada mulanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tuan rumah beri kelonggaran tidak perlu membayar sewa rumah tiga bulan, masuk bulan keempat dan seterusnya penyewa terus senyap, rupanya sudah berbulan penyewa lari.
“Sudahlah berbulan-bulan tidak bayar sewa rumah, rumah pula ditinggalkan dan dirosakkan. Saya terpaksa menggunakan khidmat empat orang untuk bersihkan rumah berkenaan.
“Kunci rumah penyewa tidak pulangkan, jadi kami terpaksa potong kunci mangga pagar. Situasi rumah memang seram sampai bau busuk bangkai dan ada anak ular sebab halaman belakang rumah sudah tumbuh lalang.
“Banyak sangat barang bersepah ditinggalkan, dinding habis rosak dan kami tidak tahu apa penyewa buat sebelum ini,” katanya.
Katanya, tuan rumah menetap di Kelantan itu menanggung kerugian RM10,000 membaiki pintu, dinding, tunggakan utiliti, upah membersihkan selain sewa rumah yang enam bulan tidak dibayar.
“Masa saya maklumkan keadaan rumah itu, tuan rumah sedih dan kecewa sebab niat dia nak tolong penyewa, malah tuan rumah mengenakan sewa murah pada keluarga penyewa.
“Kasihan tuan rumah sampai jadi trauma untuk sewakan rumahnya.
“Nasihat saya kepada penyewa kalau tidak boleh bayar sewa, terus terang dengan pemilik, jadi mereka boleh tolak ansur dan jangan jahanamkan rumah orang.
“Bagi pemilik rumah, saya sarankan perlu ada perjanjian dan minta maklumat terperinci penyewa termasuk nombor telefon keluarga terdekat mereka supaya senang dihubungi,” katanya.
METRO