11 ditahan disyaki tawar khidmat pelacur di Australia

11 ditahan disyaki tawar khidmat pelacur di Australia

11 ditahan disyaki tawar khidmat pelacur di Australia
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal menunjukkan laman sesawang mempromosi aktiviti pelacuran menyasarkan pelanggan di Australia di IPD Barat Daya, Pulau Pinang, hari ini. – Foto NSTP/Siti Aminah Mohd Yusof

BALIK PULAU: Polis menahan 11 individu dalam serbuan ke atas sebuah premis komersil di Bayan Baru, dekat sini, kelmarin yang dijadikan pusat panggilan sindiket menawarkan khidmat pelacur di Australia.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata pihaknya melakukan risikan selama dua hari sebelum menyerbu pusat itu di tingkat tiga bangunan terbabit kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, sindiket berkenaan didapati bertindak sebagai `orang tengah’ pautan laman sesawang berpangkalan di Australia bagi mempromosi dan mengiklankan aktiviti pelacuran dengan menyasarkan pelanggan di negara terbabit.



“Pelanggan yang ingin membuat tempahan akan berhubung dengan sindiket ini melalui nombor talian menggunakan kad sim syarikat telekomunikasi dari negara itu.

“Kita mendapati ada 100 hingga 120 profil wanita yang menawarkan khidmat seks dipaparkan dalam laman sesawang berkenaan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Benarkah BERSATU berpecah kepada 4 kem?




“Difahamkan, pelanggan akan membuat bayaran terus kepada pihak yang menawarkan perkhidmatan itu, sebelum sindiket pelacur di sana akan membayar komisen kepada sindiket di sini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini, hari ini.

Kamarul Rizal berkata mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan enam wanita tempatan berusia 21 tahun hingga 65 tahun dengan dua daripadanya iaitu lelaki berusia 33 tahun dan wanita berumur 65 tahun mempunyai pertalian sebagai ibu dan anak.

Menurutnya, dua daripada suspek berkenaan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka dan Enakmen Hiburan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati anak wanita warga terbabit sebagai dalang utama dan pernah beberapa kali berkunjung ke Australia dengan kali terakhir dikesan pada Julai lalu.



“Siasatan turut mendapati premis yang dijadikan pejabat operasi kegiatan itu beroperasi sejak Disember 2021. Kumpulan terbabit berselindung di sebalik perniagaan teknologi maklumat (IT) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Benarkah MY Airlines Bermaksud Muhyiddin Yasin Airlines?


“Mereka mendapat bayaran dalam nilai dolar Australia sehingga mampu menjana pendapatan dianggarkan lebih kurang RM30,000 sehari atau boleh mencecah RM900,000 dalam tempoh sebulan,” katanya.



Kamarul Rizal berkata pekerja yang dibahagikan kepada dua syif, turut meraih pendapatan lumayan sekitar RM3,000 hingga RM8,000 sebulan memandangkan kegiatan itu beroperasi 24 jam sehari.

Katanya, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas 11 unit monitor, 161 telefon bimbit, 17 tablet iPad, empat modem, 11 kerusi, lapan unit pemprosesan pusat (CPU), sebuah laptop dan sebuah kereta Mercedes-Benz.

“Semua suspek direman enam hari bermula semalam hingga Khamis ini dengan kes disiasat di bawah Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan kerana mempromosi dan mengiklan kegiatan pelacuran dan 372 (1) (f) kerana menjadi orang tengah membantu aktiviti persundalan.

“Ini kali pertama kita menumpaskan kegiatan pelacuran dalam talian seumpama ini. Kita percaya belum pernah menemui kegiatan sedemikian di negeri ini.



“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti sebegini boleh menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan IPD Barat Daya melalui nombor hotline 04-8664 122,” katanya.

11 ditahan disyaki tawar khidmat pelacur di Australia

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

13 Mei 1969: Penipuan Terbesar Tuan Ibrahim Tuan Man



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button