Gagal seludup minyak masak peket ke Siam

Oleh – Syeikh Baran


Gagal seludup minyak masak peket ke Siam
Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kanan) dan Azman (kanan) menunjukkan sebahagian minyak masak peket yang dirampas pada sidang media di Pejabat KPDN Kelantan, Kota Bharu hari ini.

Cubaan sindiket penyeludupan untuk menyeludup sebanyak 10.17 tan minyak masak peket ke Thailand gagal selepas anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menahan sebuah lori berhampiran Jambatan Kampung Kubang Panjang, Tumpat dekat sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 4 pagi itu, anggota penguat kuasa turut menahan pemandu dan kelindan lori tersebut yang berusia dalam lingkungan 30-an untuk membantu siasatan.



Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihak JKDM Kelantan menjalankan intipan dan risikan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi itu.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu menjumpai sebanyak 10,175 kilogram minyak masak peket yang dianggarkan bernilai RM20,350.

“Siasatan mendapati, kesemua minyak masak itu dibawa dari Ipoh, Perak sebelum ia diseludup ke Thailand.

“Pemandu dan kelindan lori tersebut mengaku mereka menerima upah sebanyak RM300 untuk membawa barangan tersebut ke kawasan pangkalan haram di negeri ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, di sini hari ini.



Hadir sama, Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, siasatan turut mendapati, permintaan terhadap minyak masak peket dari negara ini di Thailand semakin meningkat terutamanya semasa bulan Ramadan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button