Pusat penyembelihan ayam diarah tutup

Petaling Jaya: Buang isi perut dalam longkang selain ayam disembelih diletakkan di atas lantai.

Itu dilakukan sebuah pusat penyembelihan ayam tanpa lesen di Seksyen 3, di sini.

Malah lebih teruk apabila pekerja warga Bangladesh yang diupah untuk menyembelih ayam itu tidak mempunyai suntikan tifoid.



Susulan itu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi Unit Kesihatan dan Alam Sekitar menyerbu premis terbabit pada 3 pagi, semalam.

MBPJ dalam kenyataan berkata, pusat penyembelihan terbabit diarah tutup berikutan menyebabkan bahaya alam sekitar dan kesihatan.

“Pusat penyembelihan itu beroperasi selama kira-kira sebulan dan diarah tutup kerana pelepasan efluen tercemar yang tinggi.

“Siasatan awal kami mendapati, ayam yang disembelih itu dibekalkan ke Pasar Basah Pekan Lama di Jalan Othman. Kaedah pemprosesan boleh mencemarkan daging kerana ayam yang disembelih diletakkan di atas lantai,”katanya.



Menurutnya, pihaknya merampas 300 ekor ayam yang dibawa untuk disembelih dan diproses.

“Operasi dijalankan susulan aduan yang dilakukan penduduk sekitar berikutan bau busuk yang datang dari arah longkang berdekatan.

“Siasatan dijalankan di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MBPJ) 2007, yang mana denda RM1,500 dikeluarkan susulan perniagaan tanpa lesen dan pelanggaran kesihatan,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button