‘Terima kasih kerana bantu kami’ – Bapa penghidap Hemangioma
MACHANG: “Alhamdulillah, sumbangan yang diterima dapat meringankan perbelanjaan membeli susu anak kami yang mencecah ribuan ringgit pada setiap bulan,” kata Mat Hassan Mohammed, 47.
Mat Hassan berkata, dia akan menggunakan wang sumbangan itu bagi membeli susu formula khas untuk anaknya, Siti Aishah Sofea Mat Hassan, 16, yang disahkan menghidap ketumbuhan dikenali Hemangioma ketika usianya dua tahun.
Katanya, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung kerana setiap bulan dia perlu membelanjakan RM1,500 hanya untuk membeli susu khas kepada Siti Aishah Sofea yang berharga RM74 setin.
“Susu ini hanya mampu bertahan untuk dua hari dan ia tidak termasuk keperluan lain. Ia sesuatu yang di luar kemampuan saya dan isteri, Syahida Mustaffa, 46, memandangkan saya hanya bekerja sebagai anggota bomba sukarela di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang.
“Kesihatan anak saya kini bertambah baik berbanding sebelum ini, malah tiub susu yang dipasang pada hidungnya dicabut buat sementara memandangkan bengkak pada bahagian mulutnya sedikit mengecut.
“Bagaimanapun, anak saya masih perlu bergantung sepenuhnya kepada susu sebagai makanan hariannya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Pada 26 Januari lalu, akhbar ini melaporkan seorang remaja perempuan menanggung derita selama 14 tahun selepas disahkan menghidap ketumbuhan dikenali Hemangioma ketika berusia dua tahun pada bahagian bibirnya dan kini ia tersembul daripada isi mukanya.
Lebih menyedihkan, pipi, lidah dan bibir remaja berkenaan juga membengkak serta membesar sehingga mengganggu saluran pernafasannya dan lehernya terpaksa ditebuk.
Siti Aishah Sofea mula dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak lahir apabila wujud benjolan tanda lahir pada bibirnya.
Ketika itu doktor memberitahu ia bukan sesuatu yang membahayakan dan akan pulih dengan sendiri, namun selepas beberapa bulan, ia semakin besar dan lidahnya mula membengkak hingga keluar daripada mulut.
Mat Hassan berkata, dia berterima kasih dan bersyukur atas kesudian dan keprihatinan pelbagai pihak yang menghulurkan bantuan, sekali gus meringankan beban mereka sekeluarga.
BHOnline