Kane cipta sejarah, misi City terjejas

LONDON: Pep Guardiola mengakui misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris menerima tamparan hebat selepas jaringan Harry Kane memberikan Tottenham kemenangan 1-0 awal pagi tadi.

Skuad kendalian Guardiola berpeluang merapatkan jurang kepada dua mata dengan pendahulu, Arsenal, tetapi jaringan babak pertama Kane – yang menjadikannya penjaring terbanyak sepanjang zaman Spurs pada 267 gol – mengekalkan The Gunners dengan kelebihan lima mata di puncak liga.

City akan bertemu Arsenal, yang bermain kurang satu perlawanan, pada 15 Februari di Stadium Emirates.



Ia adalah pertembungan yang wajib dimenangi City sekiranya mereka mahu mengejar skuad kendalian Mikel Arteta, yang turut tercicir mata pada Sabtu selepas dikejutkan oleh Everton 1-0.

“Arsenal juga tercicir mata, dan memang ia peluang keemasan. Penting untuk merapatkan jurang dengan Arsenal dan meninggalkan tempat kelima, Tottenham ketika ini, masih jauh.

“Kami tidak berada di posisi untuk berfikir tentang menjadi juara,” kata Guardiola.



Stadium baharu Tottenham menjadi mimpi ngeri buat City sejak ia dibuka pada tahun 2019.

Mereka tewas kesemua lima perlawanan di situ dan masih belum menjaringkan sebarang gol di Stadium Tottenham Hotspur.

Selepas mengawal peringkat awal permainan, persembahan City merosot sebaik Kane menjaringkan gol bersejarahnya.

Dengan Kevin De Bruyne bermula di bangku simpanan dan Phil Foden tidak berada dalam skuad kerana tidak sihat, City tidak cukup kreatif untuk mencipta peluang buat Erling Haaland.



Haaland, yang dikawal ketat Cristian Romero sebelum pertahanan Tottenham itu dilayangkan kad merah, gagal membuat sebarang percubaan tepat buat pertama kali sejak berpindah dari Borussia Dortmund musim lalu.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button