Ismail Sabri ibarat ‘Rumah siap, pahat berbunyi’

Oleh – Bakhtiar Omar


Ahli Parlimen Bera, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, kini ibarat ‘rumah siap, pahat berbunyi’ apabila galak mengkritik Umno selepas tidak lagi bergelar Perdana Menteri.

Beliau yang seakan tidak dapat menerima hakikat tidak berada di puncak kuasa, mengkritik secara terbuka dalam temubual bersama sebuah portal.

Ismail cuba membandingkan ketika Umno ketika bersama Perikatan Nasional dalam Kerajaan Keluarga Malaysia dengan Kerajaan Perpaduan sekarang.



Menggunakan angka-angka jumlah ahli Parlimen yang berada dalam kabinet, Ismail memberi bayangan beliau ‘menjuarai’ kelebihan sebagai PM.

Ismail juga cuba ‘memulangkan paku buah keras’ apabila mengkritik mereka yang melontarkan kritikan terhadapnya menerusi pelbagai saluran media.

Mempersoalkan mengapa serangan dilakukan oleh Umno sendiri terhadap dirinya, Ismail cuba membayangkan beliau merupakan mangsa yang telah ‘dibuli’ oleh Umno sendiri.

Agak melucukan apabila Ismail membangkitkan perkara-perkara tersebut secara terbuka hari ini. Beliau mungkin terlupa segala tindakan beliau ketika menjadi PM. 



Sebagai orang yang mengaku setia kepada parti, Ismail tidak pernah mengkritik tindakan 10 ahli Parlimen yang menandatangani ‘Akuan Bersumpah’ menyokong Muhyiddin Yassin sebagai PM selepas PRU15.

Malah, difahamkan Ismail Sabri juga tidak menentang keputusan Majlis Tertinggi Umno ketika mahu mengambil tindakan tatatertib keatas beberapa nama besar dalam Umno.

Mengapa sekarang? Adakah kerana kini sudah tiba musim pemilihan Umno dan beliau mahu menguji popularitinya?

 

POPULARITI ISMAIL SABRI ‘MENJUNAM’ TETAPI KAKI AMPU TETAP BERITAHU SEBALIKNYA

Ismail Sabri juga dikatakan tidak dapat menerima hakikat, populariti beliau merudum ke 9% dari 30% sebelum Parlimen dibubarkan. Malah, para pengampu Ismail berkeras menyatakan beliau antara paling popular jika dibandingkan dengan Najib Razak.

Beliau juga enggan menerima realiti merosotnya sokongan kepada Umno adalah berpunca darinya yang terlalu lewat mengambil masa membubarkan Parlimen.

Kononnya bagi ‘menjaga hati’ banyak pihak dan mahu memenuhi ‘janji’ dengan pihak pembangkang ketika itu yang mahu Parlimen dibubarkan selepas Julai 2022.

Adakah tindakan Ismail Sabri sekarang yang mengkritik Umno itu sendiri merupakan tindakan serba suci?

Tidak ada bezanya Ismail dengan pengkritik jika beliau terus-terusan menjadi ‘Apache dapat senapang’ dengan menghamburkan peluru ke merata tempat.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker