Mahkamah tolak petisyen, Mas Ermieyati kekal Ahli Parlimen Masjid Tanah

Melaka: Mahkamah Pilihan Raya hari ini mengisytiharkan pemilihan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu adalah sah.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu sebentar tadi selepas membatalkan dengan kos petisyen pilihan raya difailkan bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati (reponden).

Dalam keputusannya itu berpandukan Seksyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, beliau berkata, mahkamah menerima dua daripada empat isu dibangkitkan peguam responden iaitu petisyen difailkan di luar waktu ditetapkan mengikut Seksyen 38 akta sama.



Menurutnya, mahkamah juga mendapati pempetisyen gagal memperincikan dakwaan rasuah termasuk fakta bagaimana beberapa individu dinamakan dalam petisyen itu mempunyai hubungan dengan responden atau dilantik sebagai ejennya.

Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU-15 lalu.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button