Malaysia Airports komited mudah cara operasi penerbangan SAR di Turkiye

PUTRAJAYA: Malaysia Airports selaku operator Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) komited memudah cara operasi penerbangan penyelamatan dan kargo melalui fasiliti berkenaan, ketika Turkiye berdepan kesan gempa bumi di tenggara negara itu awal pagi tadi.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata lapangan terbang itu berperanan penting dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) ketika ini, selepas kerajaan Turkiye menjadikan ia antara dua hab penyelamatan dan logistik.



Beliau berkata, ketika ini, Terminal Penerbangan Awam di lapangan terbang itu digunakan sebagai pusat pengurusan krisis dengan menyediakan sokongan diperlukan termasuk makanan untuk pasukan penyelamat.

“Sebagai operator lapangan terbang ini, kami memberikan sepenuh komitmen untuk memudah cara semua penerbangan penyelamatan dan operasi kargo yang melalui ISG.

“Penerbangan penyelamatan pertama berlepas jam 8.41 pagi waktu tempatan dan sehingga kini, enam penerbangan serupa sudah berlepas dari lapangan terbang berkenaan membawa 1,400 anggota penyelamat,” katanya melalui kenyataan media, malam ini.

Iskandar Mizal berkata, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar untuk memberikan bantuan tambahan dengan menyediakan penginapan transit kepada 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di hotel di lapangan terbang itu, sebelum mereka digerakkan ke kawasan terjejas.



Beliau berkata, pihaknya berdukacita dengan tragedi berkenaan dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa gempa bumi itu.

“Kami akan terus menawarkan sebarang bantuan diperlukan,” katanya.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan gempa bumi dengan kekuatan magnitud 7.9 menggegarkan tenggara Turkiye hari ini.



Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berlaku pada jam 4.17 pagi (waktu tempatan) dan berpusat di daerah Pazarcik.

Gempa menyebabkan puluhan bangunan musnah itu turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lubnan dan Syria.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button