Man City boleh disingkirkan daripada EPL
LONDON: Manchester City berdepan hukuman disingkirkan daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mereka didakwa melanggar lebih 100 peraturan kewangan.
Hukuman lain yang mungkin boleh dikenakan ke atas juara bertahan itu termasuk pemotongan mata, larangan perpindahan, had perbelanjaan dan pelucutan gelaran sebelum ini – walaupun situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Ia susulan pengumuman Liga Perdana hari ini bahawa kelab itu dirujuk kepada suruhanjaya bebas berhubung dakwaan pelanggaran peraturan kewangan dari musim 2009-10 hingga kempen 2017-18.
City yang dimiliki City Football Group (CFG) yang dikuasai Abu Dhabi didakwa melanggar peraturan yang berkaitan dengan penyediaan maklumat kewangan yang tepat.
City juga didakwa kerana gagal mematuhi peraturan Liga Perdana yang memerlukan kelab mematuhi peraturan kewangan Fair Play UEFA dari musim 2013-14 hingga 2017-18.
Kelab itu juga gagal mematuhi peraturan Liga Perdana mengenai keuntungan dari musim 2015-16 hingga 2017-18.
“Jawatankuasa Suruhanjaya akan dilantik oleh pengerusi bebas Panel Kehakiman Liga Perdana.
“Prosiding di hadapan Suruhanjaya adalah sulit dan didengar secara tertutup. Liga Perdana tidak akan membuat sebarang komen lanjut berhubung perkara ini sehingga diberitahu kelak,” kata Liga Perdana dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, UEFA mengenakan penggantungan selama dua tahun dan mendenda City £25 juta (RM128.3 juta) pada Februari 2020 atas dakwaan pelanggaran fair play peraturan kewangan.
Bagaimanapun, hanya lima bulan kemudian, ia dibatalkan dan denda terakhir yang dikenakan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan hanya £9 juta (RM46.1 juta).
AGENSI