‘VVIP pun kena ikut undang-undang’
Bentong: Polis Bentong tidak pilih kasih serta tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu yang melakukan kesalahan dalam menguatkuasakan undang-undang.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya akan menguatkuasakan undang-undang tanpa mengira status seseorang.
Beliau mengulas gambar sebuah kenderaan yang dipercayai milik Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang yang menyalahi peraturan seperti yang tular dalam Facebook Kami Penduduk Bentong (Official) semalam.
Seorang netizen, Iskandar Azeez Muhammad memuat naik gambar kenderaan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa mengenai perkara itu.
Zaiham berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bentong akan mengambil tindakan sewajarnya atas kesalahan itu.
“Gambar itu menunjukkan kenderaan terbabit keluar dari simpang Golden Court , Jalan Tras Bentong ke jalan utama. Ia melakukan kesalahan, iaitu abai isyarat lalu lintas di mana dengan sengaja masuk di laluan ‘No Entry’.
“Kenderaan terbabit akan disaman di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Beliau meminta agar orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi ke atas insiden itu dan polis tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu yang melakukan kesalahan.
METRO