Argentina, Chile, Uruguay, Paraguay bida Piala Dunia 2030
Buenos Aires: Argentina, Chile, Uruguay dan Paraguay melancarkan bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2030, 100 tahun selepas acara itu pertama kali diadakan di Montevideo.
“Kami yakin bahawa Fifa mempunyai rasa untuk menghormati mereka yang menganjurkan Piala Dunia pertama,” kata Presiden Persekutuan Conmebol Amerika Selatan, Alejandro Dominguez di Argentina.
Dominguez berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran di ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) di Ezeiza, selatan Buenos Aires.
Persaingan semakin sengit sebelum Fifa memilih tuan rumah pada 2024.
Cabaran utama Amerika Selatan ialah bidaan bersama dari Sepanyol, Portugal dan Ukraine yang mendapat sokongan badan induk Eropah UEFA.
Arab Saudi sedang mempertimbangkan untuk membida menjadi tuan rumah bersama Mesir dan Greece.
Pada bulan Disember, Dominguez berkata Fifa harus menghormati legasi ikon Amerika Selatan Pele dan Diego Maradona dengan menganugerahkan Piala Dunia 2030 seratus tahun kepada benua itu.
Manakala Uruguay adalah juara dunia pertama pada tahun 1930, menewaskan Argentina 4-2 dalam perlawanan akhir Piala Dunia membabitkan 13 pasukan yang berlangsung di Montevideo.
Argentina adalah juara bertahan selepas menang ke atas Perancis di Qatar tahun lalu.
Piala Dunia seterusnya akan dihoskan pada 2026 oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada – buat kali pertama akan membabitkan 48 pasukan yang bertanding dari 32 pasukan sebelum ini.
AFP