Google kenang tokoh kartunis, Kamn Ismail
KUALA LUMPUR: Google Doodle khas dipamerkan bagi memperingati tokoh terkemuka industri animasi, Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail.
Allahyarham Kamn dikenali sebagai pencipta dan pengarah siri animasi tempatan pertama, Keluang Man yang menggabungkan animasi dua dimensi (2D) dengan latar belakang tiga dimensi (3D).
Pengurus Pemasaran Produk, Judy Wong berkata, Google Doodle khas itu dipamerkan sempena ulang tahun kelahiran Allahyarham Kamn, hari ini.
“Projek istimewa ini untuk menghargai individu yang banyak berjasa dalam sejarah animasi Malaysia. Google Doodle dipaparkan pada enjin pencarian Google akan dilihat jutaan rakyat Malaysia.
“Ia adalah momen bagi memberi inspirasi dan mengembalikan nostalgia terhadap insan kebanggaan negara.
“Di Malaysia, kita melihat Google Doodle sering memperingati insan yang meninggalkan legasi besar. Sebagai contoh, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma, Datuk Sudirman Arshad, Mokhtar Dahari dan ramai lagi.
“Disebabkan itu, Google Doodle sangat istimewa. Pada hari ini, Allahyarham Kamn ikutkan menjangkau usia 67 tahun, jadi kami melancarkan Google Doodle sebagai signifikasi terhadap sumbangannya kepada masyarakat.
“Pada masa sama, ini juga pengiktirafan terhadap sumbangan dalam bidang animasi di negara ini,” katanya kepada BH Online.
Judy ditemui pada previu khas Google Doodle dan sesi sembang santai sempena memperingati Allahyarham Kamn Ismail di pejabat Google Malaysia, Menara Axiata, KL Sentral, semalam.
Turut membuat perkongsian menerusi sesi sembang santai adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Quest Animation Sdn Bhd, Muhamad Firdaus Omar yang juga menantu dan suami anak sulung Allahyarham Kamn, Dalila Kamarudin.
Muhamad Firdaus berkata, dia dan keluarganya berterima kasih atas usaha Google menghargai jasa dan usaha arwah bapa mentuanya.
“Sebagai ahli keluarga, saya sangat terharu kerana ini adalah penghargaan besar buat arwah yang banyak berjasa dalam menaikkan martabat industri animasi di Malaysia.
“Kami juga gembira untuk menyambung legasi animasinya. Kami tidak terus mengambil apa yang diusahakan, tetapi bermula dari bawah seperti arwah berusaha dahulu.
“Jadi dengan usaha Google ini, ia secara tak langsung memberikan kami semangat untuk meneruskan legasi ditinggalkan.
“Ia juga membantu orang ramai untuk mengenali arwah yang memang pakar dalam bidang animasi. Kita sendiri tahu animasi rekaannya berbeza daripada animasi lain,” katanya.
Yang turut hadir, Pensyarah Fakulti Animasi dan Multimedia Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Marzuki Abdullah, Dalila dan kartunis popular, Ujang.
Terdahulu, Allahyarham Kamn yang juga bekas Presiden Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) meninggal dunia pada usia 63 tahun akibat serangan jantung selepas hampir dua bulan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2019.
Allahyarham Kamn pernah meraih anugerah Filem Animasi Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) pada 2004 dan 2005 melalui animasi Kumang Legenda Sarawak dan Animasi Legenda Kinabalu.
Bagi mengenang jasa Allahyarham Kamn, Rumah Kartun dan Komik Malaysia bersama ANIMAS menobatkan arwah sebagai Tokoh Penglipurlara Animasi Malaysia pada malam Anugerah Kartunis dan Hari Kartunis pada 2018.
Sementara itu, Keluang Man adalah siri animasi legenda Malaysia yang pernah mencetuskan fenomena apabila ditayangkan di kaca televisyen (TV) pada 1998.
Diilhamkan Allahyarham Kamn bersama pengasas dan Pemilik UAS Animation, Natashah Md Noor, siri animasi Keluang Man diterbitkan sebanyak tujuh musim dengan lebih 140 episod yang mengumpan peminat terutama kanak-kanak pada era itu.
Menampilkan adiwira diilhamkan daripada keluang, elemen komedi diselang-selikan dalam siri animasi Keluang Man terus diingati biarpun sudah lebih dua dekad berlalu.
Watak utama diminati ramai adalah Borhan yang juga Keluang Man sebagai pesakit di hospital mental yang berubah menjadi adiwira bagi membanteras penjenayah pada waktu malam dengan bantuan rakan, Tiong Man.
BHOnline